PERTIKAIAN di mahkamah berhubung siapa layak memegang jawatan ketua menteri Sabah berlarutan selepas mahkamah tinggi di negeri itu hari ini menangguhkan saman bekas ketua menterinya Musa Aman.
Keputusan itu dibuat berikutan permohonan Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal untuk mengetepikan saman berkenaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jing Kee menetapkan 3 September depan untuk keputusan permohonan itu dan peguam diarah untuk failkan permohonan mereka.
Shafie diwakili Douglas Lind manakala Musa diwakili peguamnya Tengku Fuad Tengku Ahmad.
Menurut Tengku Fuad proses berkenaan adalah permulaan dan masanya masih panjang untuk kes itu berakhir.
“Jadi kita masih ada masa yang panjang dan kita masih belum melepasi peringkat permulaan.
“Sekiranya mahkamah membenarkan ia diketepi, sudah pasti kita akan membuat rayuan dan jika tidak kita akan teruskan saman asal,” katanya kepada pemberita selepas sebutan di mahkamah hari ini.
Musa memfailkan writ saman pada 17 Mei namun membatalkannya dan menggantikan dengan saman pemula pada 6 Jun.
Shafie memfailkan bantahannya terhadap saman itu.
Musa mendakwa beliau sebenarnya yang berhak memegang jawatan ketua menteri Sabah selepas pilihan raya 9 Mei.
Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu mengangkat sumpah pada malam 10 Mei dengan majoriti mudah, namun 36 jam selepas pelantikannya, beliau hilang majoriti selepas beberapa Adun bertindak menyokong Warisan.
Shafie kemudiannya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 12 Mei. – 9 Julai, 2018
Komen