Pemuda Umno kutip hampir RM500,000 untuk ikat jamin Najib


Bede Hong

Umno memulakan usaha mengutip dana untuk membantu membayar ikat jamin RM1 juta dikenakan mahkamah kepada Najib Razak dalam kes pecah amanah dan salah guna kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2018.

PEMUDA Umno mengutip RM489,196 setakat jam 10 pagi hari ini untuk bayaran kedua ikat jamin Najib Razak.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii memberitahu wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini jumlah itu masih belum termasuk dana yang dikutip sayap Umno lain termasuk Wanita.

Beliau juga mengecam tindakan pembekuan akaun bank pemimpin Umno.

Katanya, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank cucu Najib adalah melampau.

“Semua ini perlu dihentikan. Ada mereka (ahli Umno) yang telefon, menangis, kecewa dengan tindakan kerajaan terhadap Najib dan keluarganya.”

“Saya gesa SPRM dan pihak berkuasa tidak salah guna kuasa mereka. Mereka perlu kaji kesan tindakan mereka, terutama kepada mereka yang tak bersalah dalam apa-apa jenayah.”

Razlan juga menggesa SPRM tidak bertangguh dalam membebaskan kembali akaun terlibat, jangan balas dendam, katanya.

“Ketika Barisan Nasional berkuasa, ia telus. Tidak pernah ada sesiapa yang diambil tindakan seperti ini.”

Wanita Umno semalam menyerahkan kutipan RM261,286 dan dua gelang yang dikutip kepada Najib.

“Sokongan moral kepada Najib tinggi. Rakyat menyumbang kerana kami bersimpati dengannya dan tindakan tidak adil diambil ke atasnya. Daripada mula lagi (selepas pilihan raya), beliau seolah-olah dikenakan tahanan dalam rumah.”

“Kami semua mahu tahu yang polis tidak berada di situ untuk jaga keselamatannya. Mereka hanya mahu pastikan beliau tak pergi ke mana-mana.”

SPRM semalam menafikan ia memberikan arahan membekukan akaun bank ditubuhkan membantu Najib.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihak terlibat perlu merujuk kepada bank untuk penjelasan bukannya SPRM kerana agensi itu tidak terlibat dalam pembekuan itu.

Dilaporkan yang Ketua Wanita Umno Pekan Zalmah Abdul Rahman sebagai berkata akaun Bank Rakyat yang diwujudkan untuk membantu baki ikat jamin bekas presiden Umno itu digantung.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa baru-baru ini mendedahkan akaun banknya serta akaun anak lelakinya yang berusia 10 bulan dibekukan.

Katanya, beliau menerima panggilan bank yang akaun mereka dibekukan selepas membayar RM500,000 pertama untuk ikat jamin ayahnya.

Beliau mendakwa akaun itu digunakan untuk membayar yuran pengajiannya dan akaun anak lelakinya hanya mengandungi duit raya pertamanya berjumlah RM100.

Akaun anak lelaki Najib, Norashman juga dibekukan.

Bagaimanapun, SPRM menafikan membekukan akaun bank cucu Najib. – 9 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen