Hanipa Maidin pengsan pada perhimpunan bulanan JPM 


Chan Kok Leong

Anggota paramedik memberi rawatan kepada Hanipa Maidin yang pengsan sebelum terjatuh daripada pentas pada perhimpunan bulanan JPM di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Julai, 2018

TIMBALAN menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baharu dilantik Hanipa Maidin pengsan ketika perhimpunan bulanan bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan warga JPM beberapa minit selepas perdana menteri berucap.  

Ahli Parlimen Sepang berusia 48 tahun itu rebah dan jatuh daripada pentas setinggi setengah meter ke atas lantai di hadapan hampir 300 penjawat awam. 

Dr Mahathir segera menghentikan ucapan dan memerhatikan anggota paramedik bergegas memberi bantuan. Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut memeriksa keadaan Hanipa. 

Kurang dari tiga minit kemudian, Hanipa kembali sedar dan Dr Mahathir meneruskan ucapannya. 

Hanipa, yang pernah diserang strok di Parlimen dua tahun lalu, kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya dengan ambulans. 

Pada 5 April, 2016, beberapa ahli parlimen menemui Hanipa yang terjatuh dan terkena meja di Parlimen.

Beliau yang kemudiannya dikejarkan ke Institut Jantung Negara sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur menjalani pembedahan selama dua jam kerana pendarahan otak. 

Hanopa kembali bertugas di Parlimen pada Oktober 2016 di mana beliau berjalan dengan bantuan tongkat. Beliau bagaimanapun tidak bertongkat pada pagi ini. 

Hanipa sebelum ini dilantik sebagai timbalan perdana menteri untuk membantu menteri undang-undang Liew Vui Keong. 

Selain Liew, antara yang turut hadir pada perhimpunan bulanan itu ialah Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa.– 9 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mungkin lebih baik Malaysia ikut prosedur Indonesia. Setiap calon harus melalui , " Fit and Proper Test " , sewaktu mau menjadi calon pilihanraya. Pemeriksaan keatas bakal calon , termasuk soal kesihatan , selain dari soal kewangan.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh [email protected] · Ulasan