KORUPSI dan kekurangan integriti dalam penjawat awam akan menyebabkan Malaysia terus tersasar dalam perjalanan mencapai status negara maju, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pada perhimpunan bulanan kakitangan Jabatan Perdana Menteri pagi ini, Dr Mahathir menggesa penjawat awam supaya tidak terpengaruh dengan dugaan salah guna kuasa dan kedudukan diberikan kepada mereka untuk mengayakan diri sendiri.
Katanya lagi, kekurangan integriti dan kerja keras penjawat awam di masa silam menyebabkan progres dan pembangunan negara terbantut.
“Kuasa diberikan kepada kita supaya kita dapat jalankan tugas kita. Kuasa ini tidak boleh digunakan untuk mengayakan diri sendiri, kawan-kawan atau keluarga.
“Dan jika kita terus salah guna kuasa kita akan jadi mangsa dan negara akan terkebelakang dan tidak boleh maju seperti (negara) yang lain,” kata pemimpin berusia 92 tahun itu.
“Kita dahulu bergerak ke arah Wawasan 2020 tetapi kita terlupa perjalanan kita dan berhenti bergerak.
“Untuk memastikan kita mencapai matlamat ini kita perlukan keikhlasan, integriti dan kerja keras,” katanya.
Dr Mahathir juga mengingatkan penjawat awam yang Malaysia boleh melakukan perkara yang hebat sekiranya rakyat menggerakkan sepenuhnya jiwa dan pemikiran ke arahnya.
“Tempat kita berdiri sekarang dahulunya ladang kelapa sawit. Tetapi sekarang jadi bandar. Jika kita tak berminat, bandar ini tak akan terbina,” katanya. – 9 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Liyana Jamal · Ulasan