0% GST tak banyak beri kesan pada harga, jualan


Sheridan Mahavera Looi Sue-Chern Jason Santos Desmond Davidson

Menurut peniaga, harga barangan mentah seperti ikan, ayam dan sayur masih kekal sama sebelum penghapusan GST. – Gambar EPA, 9 Julai, 2018.

PENIAGA menjangkakan jualan dan keuntungan yang lebih baik selepas pemansuhan 6% Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menurunkan harga barangan popular dan makanan diproses.

Tetapi menurut peniaga yang terlibat dengan makanan mentah seperti ikan, ayam dan sayur, harga kekal hampir sama sepanjang enam minggu yang lalu kerana harga ditentukan oleh bekalan dan permintaan pasaran.

Malah, penurunan harga tidak seperti yang didakwa oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, yang berkata harga menurun sebanyak 30% hingga 50%.

Penurunan harga, dari lampin pakai buang hinggalah ke susu dalam tin dan sardin hanyalah satu aspek yang menggembirakan peniaga.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa pemansuhan GST memberi kesan psikologi kepada pengguna, menyebabkan mereka berbelanja lebih banyak berbanding tiga tahun lalu semasa cukai itu dikuatkuasakan.

Tujuh daripada sepuluh peniaga yang ditinjau The Malaysian Insight di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Lembah Klang berkata harga barangan turun sekurang-kurangnya 6% sejak GST sifar dilaksanakan pada 1 Jun.

Ada yang berkata keputusan kerajaan itu menyebabkan beberapa barangan mengalami penurunan sebanyak 10%.

“Harga roti dan hasil bakeri seperti kek dan roti turun antara 20 sen hingga 30 sen,” kata Agnes Tugong, 32, yang menjalankan perniagaan runcit di kampungnya di Lundu, kira-kira 100km dari bandaraya Kuching.

“Tak semua harga barang turun, hanya tertentu saja,” kata Tugong, sambil menambah harga Coca Cola botol besar kini RM3 berbanding RM3.60 sebelum ini.

“Tapi mi segera, biskut, makanan dalam tin dan minuman ringan lain - harga tak turun macam yang diharapkan.”

Seorang lagi peniaga di Kuching, Richard Spencer John berkata beliau menyedari harga makanan di bandar turun antara 6% hingga 10%.

“Saya dapat jimat untuk makanan asas,” kata peniaga makanan haiwan berusia 59 tahun itu.

Peniaga dari Kota Kinabalu, Sabah, Wilson Kan pula berkata harga barangan elektrik dan buku mengalami penurunan. Begitu juga harga makanan di beberapa restoran.

“Tetapi kedai-kedai kopitiam masih mengekalkan harga lama. Saya tak tahu kenapa mereka tak turunkan harga.”

Berita penghapusan GST menyebabkan rakyat berbelanja lebih banyak tetapi hakikatnya penurunan harga barangan mentah tidak banyak berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2018.

Cuaca mengatasi politik

Ahli ekonomi berkata akan berlaku penurunan harga yang sedikit terhadap barangan pengguna tertentu selepas 2 Jun, iaitu selepas kedai-kedai runcit berhenti mengenakan cukai ke atas pembeli.

Tetapi harga bagi makanan mentah dan belum diproses dijangka akan kekal sama kerana tidak dikenakan cukai.

Namun, pada 15 Jun lalu, Salahuddin berkata harga makanan turun sebanyak 30% hingga 50%.

Beliau menjelaskan ini berdasarkan pemerhatiannya serta maklum balas yang diterimanya dari peniaga di pasar tani yang dikunjungi menteri itu.

Zulfadli Mohd Ismail yang menjual sayur di Shah Alam berkata harga bagi sesetengah stok sayurnya naik walaupun tiada GST.

“Yang stabil cuma tempe dan tauhu. Yang lain semuanya bergantung kepada pengeluaran ladang. Pengeluaran bergantung penuh kepada cuaca,” kata peniaga pasar basah Seksyen 6 berusia 32 tahun itu.

“Contohnya, harga kacang panjang bulan ini naik sampai RM12 sekilo berbanding RM7 bulan lepas. Ini kerana peladang tak dapat keluarkan hasil mereka tepat pada masanya disebabkan musim hujan hingga hasil keluaran mereka busuk.”

Bagi penjual ikan, Zainuddin Ismail, yang berniaga di pasar sama berkata harga makanan laut tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik yang memerintah.

“Macam ikan kembung, mambong dan sotong, itu tiada siapa boleh kawal,” kata peniaga berusia 51 tahun itu sambil menambah bahawa harga dikawal oleh bekalan nelayan tempatan dan asing.

Harga ikan kembung ialah RM16 hingga RM20 sekilo, bergantung kepada saiz. Sotong yang biasanya berharga RM15 hingga RM16 sekilo kini mencecah RM34 hingga RM37 pada bulan ini.

Masih terlalu awal untuk ramal

Beberapa peniaga menjangkakan melihat keuntungan yang lebih baik kerana mereka tidak lagi menyerap cukai 6%. Mereka adalah usahawan mikro yang membuat keuntungan kurang daripada RM500,000 dan tidak dapat menyalurkan cukai kepada pengguna.

“Sekarang saya dapat stok lebih murah 6%, tanpa perlu membayar GST. Saya kekalkan harga lama, semasa ada GST saya tak naikkan harga,” kata Steven Loh yang menjual makanan ringan di Georgetown, Pulau Pinang.

“Jadi, dengan GST, saya kurang untung. Sekarang saya boleh dapat lebih 3%, mungkinlah,” kata peniaga berusia 54 tahun itu ketika ditemui di Pasar Chowrasta.

Masih terlalu awal untuk melihat perubahan kesan penghapusan GST kerana faktor cuaca dan permintaan yang banyak memberi kesan kepada harga barang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2018.

Di Sabah, peniaga runcit, Nikkie Stephen berkata pesanan untuk makanan mentah di kawasan pedalaman meningkat sejak awal bulan ini.

“Sekarang ada lebih jualan berbanding di kawasan bandar. Sebelum ini, jualan sebanyak RM5,000 memang susah, tetapi sekarang boleh cecah RM8,000 hingga RM10,000,” katanya.

“Orang di kawasan pedalaman sekarang terima banyak pesanan. Pesanan bertambah setiap bulan.

“Saya fikir ini adalah kesan besar GST sifar. Sebab pengguna fikir GST sudah dihapuskan, jadi barang lebih murah.”

Namun, ramai juga yang ditemu ramah berkata masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada kenaikan dalam jualan ini menandakan perniagaan mereka akan lebih baik pada bulan-bulan seterusnya.

“Perlu masa yang lama untuk melihat sama ada memansuhkan GST akan menguntungkan perniagaan dan meningkatkan kehidupan rakyat,” kata Loh dari Georgetown.

“Ekonomi tak berapa bagus sejak 2014 dan rakyat sudah biasa bayar GST dan mengikat perut sebab gaji tak naik.

“Saya fikir kita akan dapat gambaran yang lebih jelas dalam masa enam bulan lagi.” – 9 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • pemansuhan gst dapat meringankan beban rakyat dan memberikan kesan positif kepada rakyat dari segi kuasa beli

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • sejak pelaksanaan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) 1 Jun lepas, ramai pengguna juga mengakui banyak harga barang telah turun, keadaan ini telah mengurangkan bebanan kpd rakyat.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan