RANCANGAN Sabah untuk mengesahkan komoditi kelapa sawit sebagai lestari kepada alam sekitar menjelang 2025 menjadi berita yang tidak dialu-alukan kepada pengusaha kecil, yang bimbang ia akan menjejaskan margin keuntungan.
Sabah menyasarkan untuk mendapatkan pematuhan penuh pensijilan Minyak Sawit Mampan (CSPO) menjelang 2025, mengikut garis panduan pensijilan Meja Bulat bagi Minyak Sawit Lestari (RSPO).
Pencemaran, pemusnahan habitat haiwan liar dan persekitaran tempat kerja yang teruk didakwa berlaku di ladang kelapa sawit, menyebabkan pensijilan akan menyaksikan aktiviti perladangan kelapa sawit akan diselaraskan menggunakan kaedah penanaman lestari.
Jika diluluskan, Sabah menjadi negeri pertama yang komited untuk mengesahkan 100% pengeluaran kelapa sawit.
Sabah menghasilkan 30% daripada minyak sawit Malaysia daripada 1.46 juta hektar ladang, dengan 12.8% daripadanya ditanam pekebun kecil.
Walaupun pemodenan itu bagus, ia membabitkan kos besar bagi pekebun kecil untuk mematuhi semua garis panduan, yang terdiri daripada kebajikan pekerja, keselamatan, jentera dan kawalan kualiti.
Khairy Abdullah dari Keningau berkata pengesahan dan pensijilan itu membebankan kerana ramai pekebun masih bergantung pada penanaman konvensional.
Peralihan dari penanaman konvensional kepada kaedah lestari memastikan amalan pengurusan diperbaiki dan kualiti buah untuk kemasukan pasaran lebih baik.
Khairy berkata pengawal selia seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) agak perlahan mengemas kini teknologi dan garis panduan kepada pekebun kecil.
“Saya pekebun swasta dan agensi seperti MPOB lembap melaksanakan dan memberi taklimat kepada pekebun mengenai perkara seperti ini.
“Secara umumnya, jarang sekali ada pembabitan mereka seperti kempen atau dana, menyebabkan ramai antara kami tidak tahu dan tidak ada biaya untuk memperbaharui operasi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Khairy, yang mengendalikan kawasan penanaman seluas 24.28 hektar di daerah pedalaman berkata pendaftarannya dengan MPOB untuk membuka 6 hektar ladang juga ditangguhkan oleh agensi itu sejak 2014.
Katanya, kurang maklumat mengenai perkara itu akan menyebabkan bayaran dari kilang akan berkurangan.
“Ini tambahan kepada ribuan ringgit yang dikeluarkan untuk membeli mesin baharu, baja dan peralatan keselamatan untuk pekerja,” katanya yang berpotensi memperoleh RM450 per tan hasil sawit.
Tuaian daripada sehektar ladang (0.4 hektar) dianggarkan dapat menghasilkan setan sawit.
Bagi mendapatkan pensijilan meja bulat, pekebun perlu menyediakan peralatan keselamatan kepada pekerja, menyediakan tempat tinggal selesa, membayar gaji minimum dan menawarkan penjagaan kesihatan serta manfaat lain.
Industri minyak sawit Sabah menawarkan lebih 150,000 pekerjaan kepada warga asing.
Khairy berkata pekebun kecil sepertinya mungkin tewas dengan syarikat perladangan komersial yang sudah pun mengeluarkan 50% lebih basil berbanding pekebun kecil.
Pensijilan CSPO ialah program 10 tahun diluluskan Kabinet negeri pada 2015 dan diketuai Jabatan Perhutanan.
Pensijilan itu bukan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) persekutuan yang akan menjadi mandatori pada 2019.
Pensijilan RSPO menjadi pilihan ketara bagi Sabah kerana ia penanda aras yang diiktiraf di Eropah.
Pengarah Perhutanan Sam Mannan berkata pensijilan itu penting kerana Sabah tidak lagi mempunyai kapasiti untuk bersaing dengan negara lain daripada segi output dan saiz. – 13 Julai, 2017.
Komen