POLIS Pulau Pinang memburu seorang lelaki kerana disyaki mencabul kehormatan seorang pelayan wanita di Georgetown pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata lelaki terbabit akan dipanggil untuk diambil kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.
Anuar berkata mangsa yang membuat laporan merupakan wanita berusia 21 tahun, namun tidak menjelaskan dengan lanjut berhubung suspek.
Awal pagi ini, butiran dakwaan jenayah itu dimuat naik pada laman Facebook pengguna bernama “Aayirattil Oruvan” – sebuah tajuk filem.
Dalam posting itu, pengguna Facebook terbabit mendakwa suspek mengambil kesempatan secara seksual ke atas mangsa di tempat letak kereta sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai pada 6 Julai, 2017.
Dia turut mendakwa suspek memeluk dan menciumnya beberapa kali dan cuba melakukan seks oral dan mencabulnya dalam kejadian jam 11.30 malam itu.
Wanita terbabit mendakwa lelaki berkenaan yang mabuk ketika itu turut menawarkan wang untuk tidur dengannya.
Pengguna Facebook terbabit bagaimanapun tidak mengenali nama suspek namun mendakwa dia bekerja dengan seorang ahli dewan undangan negeri selama dua penggal yang mengetuai DAP Cawangan Bukit Gelugor.
Suspek juga didakwa sebagai pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di Bukit Gelugor dan merupakan bekas ahli majlis pihak berkuasa tempatan. – 13 Julai, 2017.
Komen