Peguam lihat Najib cuba gambar dirinya dianiaya


Looi Sue-Chern

Peguam N Surendran berkata saman Najib Razak terhadap tiga pegawai tertinggi kerajaan adalah percubaan untuk menegaskan naratif bahawa pihak berkuasa penguatkuasaan dan pendakwaan bersifat prejudis terhadap bekas perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2018

PEGUAM dan pemerhati melihat, Najib Razak cuba menggambarkan dirinya sebagai mangsa prejudis melalui saman bekas perdana menteri itu ke atas pegawai kerajaan yang terlibat dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad.

Mereka turut melihat, tindakan mahkamah juga satu cubaan oleh bekas perdana menteri itu untuk menunjukkan beliau dianiaya oleh kerajaan baharu.

Pasukan peguam Najib pada 30 Jun memfailkan saman terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Shukri Abdull, Pengarah Jabatan jenayah Komersil Bukit Aman Amar Singh Ishar Singh dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Saman itu dibuat berdasarkan kenyataan tiga pegawai berkenaan sebelum ini. Najib memohon mahkamah memutuskan sama ada individu yang mengendalikan kes terhadapnya itu mempunyai konflik kepentingan.

Najib pada hari Rabu lalu didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa bagi kes penyelewengan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta SPRM.

Seorang peguam hak asasi manusia Fahri Azzat menyifatkan saman Najib sebagai “perkembangan yang menarik”.

Katanya ia memperlihatkan Najib serta pasukan peguamnya mahu menonjolkan naratif bahawa bekas perdana menteri itu dianiaya.

“Ini konsisten dengan perintah larangan bersuara (sementara) serta kenyataan Najib di media sosial bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan dijatuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk agar media cetak dan digital dikenakan sekatan sementara bagi menghalang mereka membincangkan merit kesnya.

“Saya fikir beliau perlu hentikan tindakan ini, jika tidak, ia tidak akan menjadi seperti yang diharapkannya.

“Lihatlah bagaimana tindakannya memakan diri apabila beliau mahu menyaman The Wall Street Journal.”

Najib sebelum ini mengancam untuk menyaman akhbar dari Amerika Syarikat itu berhubung laporan yang mengaitkannya dengan skandal 1MDB, namun beliau tidak memulakan saman tersebut.

Fahri berkata, tindakan saman terhadap pegawai kerajaan itu mungkin akan menguntungkan Najib kerana bekas perdana menteri itu mungkin akan mendapat lebih maklumat daripada penyiasat bagi persediaan pembelaannya.

Katanya saman itu mungkin satu usaha yang berniat untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripada yang layak diperolehi Najib mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Undang-undang itu menetapkan, pihak pendakwaan perlu menyerahkan dokumen yang akan dikemukakan semasa perbicaraan kepada pembelaan.– 8 Julai, 2018

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen