Usah taksub pada hutang negara, kata pakar ekonomi


Sheridan Mahavera

Pakar ekonomi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Nurhisham Hussein berkata hutang akan terkawal sekiranya negara terus menjana pertumbuhan ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2018

PAKAR ekonomi menyarankan kerajaan baharu Pakatan Harapan untuk memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi dan tidak taksub dengan hutang negara RM1 trilion. 

Pakar ekonomi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Nurhisham Hussein berkata selagi negara membuat bayaran secara tetap dan membuat kawalan, jumlah hutang itu akan turun. 

Caranya ialah meningkatkan pendapatan negara secara keseluruhan setiap tahun bagi membolehkan negara mempunyai wang yang cukup untuk membayar pinjamannya, kata Nurhisham yang juga ketua jabatan ekonomi dan pasaran modal.

“Kami pastikan jumlah hutang stabil walaupun ianya RM1 trilion,” kata Nurhisham dalam satu acara Kumpulan Bank Dunia di Kuala Lumpur. 

“Jika ekonomi berkembang dalam terma nominal pada 6% hingga 7% setahun, jumlah hutang akan turun secara automatik dalam tempoh lima hingga enam tahun,” kata Nurhisham, yang juga ahli panel dalam pelancaran Kumpulan Bank Dunia.

“Sebenarnya anda tidak perlu mengurangkan jumlah tetapi pastikan ia stabil dan teruskan menjana ekonomi negara. 

“Walaupun anda mempunyai (bajet) defisit 3% setiap tahun tetapi ekonomi tumbuh pada 7% atau 8%, tahap pendapatan akan tumbuh di tahap lebih pantas berbanding hutang. Ia lestari.”

Hutang negara yang besar menjadi tumpuan selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan selepas PRU14. 

Pentadbiran PH berkata negara berhutang RM1 trilion secara langsung dalam kerajaan dan jaminan yang telah diambil dari entiti berkaitan negeri, seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia bertentangan dengan dakwaan Barisan Nasional sebelum ini bahawa hutang negara adalah hanya RM687 bilion, jumlah yang dipertikaikan oleh pakar sejak sekian lama. 

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata hutang kerajaan yang besar memaksanya menangguhkan beberapa dasar PH. 

Ini termasuk memansuhkan tol lebuh raya dan menyediakan pendidikan percuma di universiti awam. 

Apa yang perlu negara tidak patut lakukan, kata Nurhisham, adalah mengurangkan jumlah perbelanjaan wang ke atas ekonomi kerana ia akan memperlahankan pembayaran hutang.

“Sekiranya kamu terlalu menumpukan kepada pembayaran hutang, kamu sama ada menaikkan cukai atau mengurangkan jumlah perbelanjaan ke atas ekonomi. Ia memberikan tekanan kepada sektor awam dan isi rumah. 

Jadi, kamu akan dapat pertumbuhan yang perlahan dan walaupun kamu mengurangkan hutang, nisbah (hutang-kepada-pendapatan) tidak akan turun.

“Semuanya bertujuan untuk mengekalkan pertumbuhan walau apa cara sekalipun dan hutang itu akan selesai dengan sendiri.” – 7 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen