Penduduk KL menang bantahan projek kontroversi Taman Desa


Noel Achariam

Sejak 2017, penduduk di pinggir bandar Kuala Lumpur membantah pembangunan kondominium Taman Desa yang sedang dibina di atas tanah TNB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2018.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggantung projek kondominium di Taman Desa, berikutan bantahan penduduk.

Ahli Protect Taman Desa Coalition, Khong K.Y. berkata kumpulan itu dimaklumkan yang surat penggantungan sudah disediakan oleh Jabatan Perancang DBKL.

“Kami diberitahu penggantungan notis kerja akan dikeluarkan kepada tapak projek.

“Surat itu sudah disediakan dan dihantar ke jabatan penguatkuasa yang berkaitan untuk tindakan.

“Notis itu akan dikeluarkan kepada Kisser Bina Sdn Bhd (pemaju) pada Isnin,” katanya di kondominium Tiara Faber di Taman Desa hari ini.

Sejak 2017, penduduk di pinggir bandar Kuala Lumpur ini membantah pembangunan kondominium yang sedang dibina di atas tanah TNB.

Mereka mendakwa cadangan tiga blok kondominium setinggi 37 tingkat itu akan menyebabkan kesesakan di kawasan yang sudah sedia berlaku pembangunan keterlaluan.

Persatuan itu juga membantah 14 projek lain, yang dikatakan diluluskan oleh DBKL tanpa pertimbangan wajar mengenai infrastruktur Taman Desa yang sudah berusia 50 tahun, termasuk pengangkutan awam, jalan raya dan paip air, yang belum dinaik taraf.

Gabungan itu juga mengatakan memorandum memperincikan penemuan bersama bukti untuk menyokong dakwaan mereka juga diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Pejabat Peguam Negara dan Perdana Menteri Dr Mahatir Mohamad.

Dua kes semakan kehakiman yang difailkan pada  Mac dan Julai 2017 masih di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Dua penangguhan dibuat dan pendengaran kini dijadualkan pada 20 Ogos.

Pada November lalu, penduduk memfailkan saman terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mhd Amin Nordin Abdul Aziz untuk menghentikan pembinaan itu. – 7 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen