KERAJAAN akan menyemak semula proses pembidaan oleh penjana kuasa bebas (IPP) bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam pemberian kontrak.
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin berkata langkah itu diharap dapat membuka sektor pengeluaran elektrik kepada lebih persaingan, dan akhirnya dapat mengurangkan kos.
“Kami akan menyemak semula kontrak IPP yang diberikan menerusi rundingan langsung, dan mengambil tindakan mengikut undang-undang, bagi memastikan kos penghasilan elektrik dapat dikawal,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam temu bual pertamanya selepas dilantik sebagai menteri minggu lalu.
“Kami sedang meneliti pembaharuan dalam sektor jana kuasa untuk menjadikan sektor itu lebih kompetitif bagi mengawal harga elektrik. Salah satu daripadanya ialah meneliti perjanjian IPP,” katanya.
Tidak lama lagi, kementerian juga akan mendedahkan pelan perubahan sektor jana kuasa kepada umum.
“Perbincangan dalaman diadakan. Masih banyak perkara perlu diselesaikan sebelum diumumkan kepada umum tentang apa yang akan dilakukan dengan sektor jana kuasa.
“Ia mungkin perancangan dua hingga tiga tahun untuk keseluruhan pelaksanaan itu dilengkapkan,” kata Yeo.
“Saya mahu memastikan ia telus iaitu sektor jana kuasa itu tidak menjadikan individu tertentu kaya, tetapi sama rata kepada rakyat.”
Perjanjian IPP, dengan sebahagiannya mencecah nilai bilion, sudah lama dikritik kerana diberikan menerusi rundingan langsung, menyebabkan tarif kadangkala lebih tinggi berbanding harga pasaran.
Yeo berkata kementeriannya akan menyemak semua projek sedia kerana ada yang masih belum dilaksanakan, menambah mengakhiri “monopoli” sektor jana kuasa akan mewujudkan persaingan sihat dan menurunkan harga.
“Ada projek yang belum bermula pun. Ada projek yang hanya ada surat niat. Kami sedang cuba untuk membina semula dan semuanya akan dibuat mengikut undang-undang,” katanya. – 7 Julai, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen