Buat kerja, tak perlu cakap banyak, kata menteri wanita termuda


Bede Hong Ooi Choong Han

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin berkata beliau mahu kementeriannya melakukan tugas dengan terbaik, meskipun sesetengah pihak mengkritik pelantikannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Julai, 2018.

YEO BEE YIN, wanita paling muda dilantik jadi menteri di Malaysia, bertekad mahu menyemai pegangan peribadinya kepada kakitangan awam dalam kerajaan: kurangkan bercakap, tumpukan pada kerja dengan selalu berusaha lebih cemerlang.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Yeo, 35, berkata beliau tidak minat untuk menjawab pengkritiknya yang menuduh beliau terlalu muda dan tidak berpengalaman untuk mengendalikan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Malah, sesetengah rakan dalam DAP juga meluahkan rasa tidak senang dan mengatakan ada lagi wakil rakyat lain lebih berpengalaman. Pengkritiknya dalam DAP menyebut nama-nama seperti Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen, yang kononnya lebih sesuai untuk jawatan itu.

“Sebenarnya saya tidak ada apa-apa hendak cakap mengenai perkara ini,” kata Yeo ketika ditanya tentang kritikan terhadapnya.

“Kita tidak dapat menghadapi semua ini dengan bercakap macam-macam. Kita perlu menghadapinya dengan tindakan,” kata ahli Parlimen Bakri itu dalam temu bual pertamanya sejak menjawat jawatan menteri pada 2 Julai.

Yeo dilantik sebagai menteri dan mengangkat sumpah pada minggu lalu.

The Malaysian Insight melaporkan namanya tersenarai antara anggota Kabinet Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, lebih kurang seminggu sebelum senarai itu dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk perkenan.

“Saya sangat terkejut. Apabila Dr Mahathir telefon, jantung saya berdegup laju.

“Saya sebenarnya tidak mendengar dengan jelas apa yang beliau kata, kerana nama kementerian itu terlalu panjang, jadi saya sebenarnya tidak pasti adakah ia pelantikan menteri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kelayakan akademik dan politik Yeo amat mengagumkan. Seorang jurutera kimia, beliau memperoleh sarjana dari Cambridge menerusi biasiswa daripada Yayasan Bill dan Melinda Gates.

Beliau juga penerima Biasiswa Petronas, lepasan Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan kelas pertama dalam Kejuruteraan Kimia.

Yeo dipilih sebagai Adun Damansara Utama ketika berusia 29 tahun, menjadikannya ahli termuda dalam Dewan Undangan Negeri Selangor dari 2013 hingga 2018.

Pada PRU14, beliau mengambil risiko besar dengan bertanding di kerusi Parlimen Bakri di Johor, satu langkah yang berbaloi kepadanya.

Yeo berkata sebagai menteri, beliau berharap dapat menyerapkan nilai kerja kuat dan cemerlang kepada mereka yang bekerja dengannya, dan beliau percaya perubahan dalam minda rakyat dan budaya kunci kepada masa depan lebih cerah untuk negara ini.

“Saya mahu kementerian ini menjadi cemerlang. Saya mahu semua yang kami buat, semangat untuk melakukannya, untuk mengejar kecemerlangan.

“Setiap kali kita laksanakan sesuatu, kita perlu tanya diri adakah kita sudah melakukan yang terbaik? Kerana jika kita tidak tanya diri, rakyat akan berubah.

“Jika saya tidak lakukan yang terbaik, jika saya gagal sebagai menteri, rakyat akan berubah.

“Ada sesetengah nilai yang mahu kita semai dalam kementerian ini.”

Sebelum pilihan raya, Yeo juga menerbitkan sebuah buku bertajuk “Reimagining Malaysia” di mana beliau menyenaraikan dasar yang dipercayainya dapat mengubah negara ini.

Beliau sangat menghargainya apabila berada di kedudukan di mana beliau dapat melaksanakan sesetengah dasar itu, dan membantu membentuk Malaysia baharu untuk generasi masa depan.

“Saya sangat bersyukur. Minggu lalu saya hadiri mesyuarat Kabinet kali pertama dalam kerajaan Malaysia baharu.

“Inilah tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya.

“Saya perlu lakukan sehabis baik untuk mengubah negara ini,” katanya. – 7 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ini lah satu satu menteri yg terbaik yg boleh buat perubahan yg kita tunggu tunggu selama ini. Syabas

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Zainal osman · Ulasan