KEMENTERIAN Kesihatan akan melakukan pemeriksaan kesihatan di madrasah dan rumah Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi berikutan laporan bedah siasat kedua bekas pelajar tahfiz itu mendedahkan yang dia meninggal dunia akibat leptopsirosis atau kencing tikus, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahaya.
“Pegawai kita di lapangan akan menjalankan siasatan di rumah dan sekolah tempat mangsa,” katanya kepada pemberita di Sungai Buloh hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas sama ada pihak kementerian kesihatan akan membuat pemeriksaan sama ada penyakit tersebut mungkin dijangkiti pelajar lain Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kota Tinggi, Johor dan juga ahli keluarga mangsa.
Ibu bapa Thaqif sebelum ini mempersoalkan tindakan pihak hospital dan polis yang tidak memaklumkan keputusan bedah siasat tersebut kepada mereka, sebaliknya memberitahu wartawan terlebih dahulu.
Kes Thaqif, 11 tahun mendapat liputan meluas media kerana tular di media sosial dakwaan bahawa bekas pelajar tersebut meninggal dunia akibat didera.
Susulan itu, seorang pembantu warden sekolah berusia 29 tahun ditahan untuk membantu siasatan kerana terdapat laporan mendakwa dia memukul Thaqif menggunakan paip getah. Walaupun begitu dia dibebaskan dengan bon mahkamah RM20,000.
Sebelum ini laporan bedah siasat pertama menunjukkan ada bukti Thaqif didera, tetapi laporan bedah siasat kedua mendedahkan kematian pelajar itu berpunca daripada leptospirosis atau kencing tikus. – 12 Julai, 2017.
Komen