Hannah Yeoh minta rakyat sabar dengan keputusan kurang popular kerajaan


Kamles Kumar

RAKYAT Malaysia diminta bersabar dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) jika ia terpaksa melaksanakan keputusan yang kurang popular, kata timbalan menteri Hannah Yeoh hari ini.

Yeoh, yang merupakan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, keputusan kurang popular seumpama itu adalah sebahagian daripada rancangan masa panjang kerajaan PH untuk membaiki keadaan negara.

Walaupun beliau tidak merujuk mana-mana contoh keputusan kurang popular itu, Yeoh memetik antara lain mengenai ketidakseimbangan peruntukan antara kementerian yang menjaga hal ehwal kebajikan dan Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Peruntukan untuk kebajikan hanya berjumlah RM2 bilion berbanding RM6 bilion yang diperuntukan untuk pemberian BR1M oleh kerajaan terdahulu.

“Jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan untuk kebajikan di seluruh negara adalah berjumlah RM2 bilion. Tetapi, berapa banyak pula yang dihabiskan untuk BR1M?

“Jumlahnya adalah tiga kali ganda daripada apa yang dibelanjakan (kerajaan) untuk kebajikan. Sejumlah RM6 bilion diperuntukkan untuk BR1M. Ini tidak betul. Ini adalah perkara yang harus dibetulkan,” kata Yeoh pada majlis makan malam kutipan derma Tabung Harapan, malam ini.

“Tindakan yang diambil kerajaan baharu mungkin kurang popular tetapi ia perlu. Harap bersabar dengan kami.

“Apabila kerajaan mengumumkan keputusan. Adalah penting untuk rakyat mendengar maklumat yang diberikan bagi memahami mengapa ia dilaksanakan,” kata Yeoh.

Kerajaan PH mengumumkan pada Mei yang BR1M akan digantikan dengan Bantuan Sara Hidup Malaysia.– 6 Julai, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen