BEKAS Ketua Menteri Sabah, Musa Aman disaman di mahkamah kerana didakwa menyeleweng pendapatan Yayasan Sabah hasil konsesi balak semasa beliau jadi pengerusi badan itu antara 2003 dan 2018.
Saman difailkan oleh Zulkifli Kassim dari Kampung Bobot, Kota Belud atas kapasitinya sebagai rakyat Sabah, yang merupakan penerima manfaat daripada Yayasan Sabah mengikut undang-undang.
Zulkifli menuntut Musa untuk memulangkan wang sebanyak RM400 juta kepada Yayasan Sabah, hasil pengeluaran konsesi balak, tidak termasuk faedah 8% setahun sehingga tarikh penyelesaian.
Dalam penyata tuntutannya, Zulkifli menuduh Musa sebagai seorang yang pecah amanah sehingga menyebabkan beliau, seorang rakyat Sabah, mengalami kerugian kerana tidak mendapat manfaat daripada keuntungan konsesi balak itu.
“Daripada menyerahkan pendapatan berjumlah AS$101 juta hasil konsesi balak kepada penerima manfaat termasuk Plaintif, Defendan sebaliknya mengambil duit tersebut untuk dirinya sendiri,” kata Zulkifli dalam dokumen mahkamah yang dilihat The Malaysian Insight.
Menurut Zulkifli, mengikut Seksyen 12 Enakmen Yayasan Sabah, Musa adalah pemegang amanah bagi pihak rakyat Sabah, yang sepatutnya menikmati hasil pendapatan yayasan itu seperti yang termaktub dalam Seksyen 3 enakmen yang sama.
Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 18 Jun lepas.
Dalam penyata tuntutannya juga, Zulkifli berkata beliau membina kesnya terhadap Musa berdasar laporan media dan dokumen siasatan di Hong Kong.
Beliau mendakwa Musa menyelewengkan duit itu melalui syarikat muslihat di British Virgin Islands melibatkan seorang yang bernama Michael Chia atau Chia Tien Fong.
Pada 2012, Sarawak Report pernah mendedahkan Chia ditahan di Hong Kong kerana cuba membawa RM40 juta yang dikatakannya untuk Musa. Tauke balak itu empat tahun lalu dihukum penjara oleh mahkamah di Sandakan kerana skandal penipuan melibatkan dana RM2.5 juta.
Semalam, notis saman ke atas Musa diiklankan di akhbar sebagai ganti serahan diri ke atas bekas ketua menteri itu, yang kali terakhir dikesan meninggalkan Sabah menuju ke Kuala Lumpur dengan pesawat Malindo Air pada 12 Mei.
Peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad melalui firmanya Tetuan F.T Ahmad & Co, hari ini memfailkan memorandum kehadiran sebagai tanda menerima dokumen saman tersebut. Musa mempunyai masa 14 hari untuk memfailkan pembelaannya.
Musa melalui peguamnya mengaku beliau meninggalkan Malaysia pada 16 Mei lalu dan kini berada di London untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
Musa menghilangkan diri ketika beliau dicari polis untuk diambil keterangan berhubung satu laporan polis terhadapnya terkait dakwaan mengancam Yang Di-pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin, semasa drama siapa Ketua Menteri Sabah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.– 6 Julai, 2018.
Komen