PH guna logo PKR di Sungai Kandis


Kamles Kumar

Dr Mahathir Mohamad berkata calon bagi pilihan raya kecil Sungai Kandis akan menggunakan simbol dan bendera parti PKR dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Julai, 2018.

PAKATAN Harapan akan menggunakan logo PKR dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis nanti, logo yang sama yang dipakai oleh gabungan politik itu dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Ini kerana logo PH warna merah dan putih masih terlalu baru, belum dikenali dan boleh mengelirukan pengundi, kata Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad.

“Kita tak mahu kelirukan orang. Kita akan bertanding menggunakan logo dan simbol PKR,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Putrajaya.

Dr Mahathir juga menambah, PH akan meletakkan calon dari PKR dalam pilihan raya kecil itu.

Kerusi negeri Sungai Kandis kosong selepas wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia akibat barah, Isnin lalu. Allahyarham adalah juga bekas setiausaha politik kepada Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata partinya masih belum memutuskan calon yang akan dimajukan dalam pilihan raya kecil itu.

“Saya sudah maklumkan kepada PKR Selangor untuk senaraikan nama. Saya masih belum terima. Apabila kita terima, pimpinan parti akan buat keputusan dan dapatkan kelulusan pemimpin PH,” katanya.

Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari yang juga Setiausaha Agung PKR Selangor semalam berkata, pihaknya sudah ada nama yang dibayangkan sebagai calon di Sungai Kandis.

Dalam PRU14, Shuhaimi mengalahkan calon Barisan Nasional Kamaruzzaman Johari dan calon PAS, Mohd Yusof Abdullah serta seorang lagi calon PRM dengan majoriti 12,480 undi. – 6 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen