Bawa ke mahkamah, pesan Dr Mahathir pada keluarga Najib


Kamles Kumar

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata segala tindakan terhadap Najib Razak pada masa ini bukan kerana balas dendam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Julai, 2018.

DR Mahathir Mohamad hari ini berkata keluarga bekas perdana menteri Najib Razak boleh ke mahkamah memfailkan sebarang rasa tidak puas hati jika merasakan kerajaan sekarang melayan mereka dengan tidak adil.

Perdana menteri juga menafikan segala tindakan terhadap Najib dilakukan kerana balas dendam dan memberitahu keluarga Najib boleh mencabar tindakan kerajaan di mahkamah.

“Kita nak balas dendam apa? Yang dia buat dulu lebih daripada itu kita tak merungut.

“Semua kawan-kawan saya dihalau tak beri berkawan dengan saya, pembekuan akaun mereka dilakukan, kita tak merungut.

“Ini tuduhan, dia boleh tuduh apa, dia salah. Kalau dia kata (pembekuan akaun) ini salah, mereka boleh bawa ke mahkamah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya hari ini.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa memuat naik luahan mengenai pembekuan akaun miliknya dan anak lelakinya berusia 10 bulan menerusi tulisan di Facebook bertajuk “Malaysians for Civil Liberty”.

Bagaimanapun, semalam Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki menafikan dakwaan bahawa akaun bank milik cucu bekas perdana menteri itu turut dibekukan ekoran siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 6 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen