Madrasah yakin tiada kencing tikus, bersedia diperiksa KKM


Nabihah Hamid

Pihak pengurusan Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Johor yakin dengan tahap kebersihan premisnya dan mengalu-alukan Kementerian Kesihatan melakukan pemeriksaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2017.

PIHAK pengurusan Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ), Johor bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya mahu memeriksa kewujudan virus leptospirosis atau penyakit kencing tikus yang menyebabkan kematian bekas pelajarnya, pada 26 April lalu.

Pengetuanya, Mohammad Afdhaluddin Ismail bagaimanapun yakin madrasah tersebut bersih sepanjang tempoh ia beroperasi.

“Ia sesuatu yang kita tidak nampak (kencing tikus). Jadi madrasah diuruskan dengan baik, kebersihan itu, alhamdulillah. Kalau ada, kementerian perlu sahkan dan untuk itu mereka perlu datang.

“Sebelum ini mereka sudah datang juga memeriksa (madrasah). (Setakat ini), KKM belum menghubungi lagi. Saya mengalu-alukan dan akan membantu sedaya mungkin,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi, 11, disahkan terkena jangkitan tikus selepas keputusan bedah siasat KKM semalam.

Pengurusan madrasah di Kota Tinggi itu turut memberitahu tidak mengadakan sebarang aktiviti luar sepanjang Mac lalu yang boleh membuatkan pelajar terdedah dengan bakteria tersebut.

Namun terdapat program jati diri dibuat oleh pihak pengurusan pada 20 hingga 22 April lalu yang berlokasi di Mersing.

“Saya tidak tahu bagaimana dia memperolehinya (kencing tikus). Saya tidak boleh komen.

“Selepas hari ke-20 Thaqif berhenti (belajar), ada program kem di luar iaitu Kem Jati diri tetapi Thaqif bukan lagi pelajar kami,” katanya yang memberitahu Thaqif berhenti sejak 31 Mac lalu.

Hormati hak keluarga

Meskipun menganggap kes melibatkan bekas pekerjanya selesai, namun Afdhaluddin menghormati keputusan keluarga Thaqif yang tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat KKM.

“Itu hak dan pendirian mereka (keluarga Thaqif) dan KKM. Saya rasa mereka ada penjelasan sendiri.

“Bagi saya siasatan polis dan KKM dijalankan dengan bersungguh-sungguh. Pegawai keluar masuk madrasah hingga balik jam 4 pagi (buat siasatan),” katanya lagi.

Sebelum ini, bapanya mangsa Mohd Gadaffi Mat Karim dilaporkan enggan hadir ke IPD Kota Tinggi, Johor apabila diminta berjumpa dengan pakar perubatan bagi diberi penjelasan mengenai hasil kajian berkaitan kes tersebut.

Kes Thaqif, 11 tahun mendapat liputan meluas media kerana tular di media sosial dakwaan beliau meninggal dunia akibat didera.

Bagaimanapun, laporan bedah siasat kedua mendedahkan kematian pelajar itu berpunca daripada leptospirosis. – 11 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen