TERDAPAT persamaan krisis kehakiman 1988 dalam isu pelanjutan penggal bagi tempoh perkhidmatan ketua hakim dan presiden Mahkamah Rayuan, kata peguam dan percaya sebarang cabaran undang-undang untuk membatalkan keputusan Perdana Menteri Najib Razak itu mempunyai peluang tipis untuk berjaya.
Bagaimanapun, mereka berharap kepada Majlis Peguam untuk menyatakan pendirian pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan datang dan menggesa orang ramai lebih prihatin terhadap implikasi perkembangan kehakiman ini.
Sebarang cabaran undang-undang tidak akan membuahkan hasil memandangkan peruntukan Perlembagaan memberi kelebihan yang berpihak kepada badan eksekutif, kata peguam.
“Mereka tidak mempunyai pilihan. Majlis Peguam mempunyai tanggungjawab untuk memastikan sistem keadilan sebaik mungkin dan undang-undang serta Perlembagaan dihormati,” kata Azmi Sharom, profesor undang-undang di Universiti Malaya.
Majlis Peguam akan mengadakan EGM bulan depan selepas ia mempersoalkan langkah kerajaan pada Jumaat lepas yang melanjutkan perkhidmatan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin. Mereka akan berkhidmat selama tiga dan dua tahun lagi.
Kedua-duanya dilantik sebagai “hakim tambahan” bagi membolehkan mereka berada dalam badan sebelum tarikh persaraan wajib mereka tahun ini pada usia 66 tahun dan enam bulan.
Pelantikan itu dilakukan selaras dengan Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Majlis Peguam George Varughese menggelar lantikan mereka, “membimbangkan” dan “terang-terangan tidak berperlembagaan”.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Varughese menyenaraikan lima pelanggaran Perlembagaan dalam pelanjutan tempoh perkhidmatan dua hakim tersebut.
Bagi memastikan kebebasan badan kehakiman, peguam tidak perlu lagi khuatir tindakan dan pendirian mereka akan menimbulkan permusuhan dengan para hakim atasan.
“Sudah tentu, tidak mudah bagi peguam secara individu untuk bercakap kerana ini boleh menjejaskan hubungan mereka dengan badan kehakiman,” kata Eric Poulsen, pengarah eksekutif Lawyers fot Liberty.
“Bagaimanapun, semua peguam dan hakim tahu pentingnya pemisahan kuasa, kebebasan badan kehakiman harus dipertahankan sebaik mungkin, agar tidak menghilangkan keyakinan masyarakat awam.”
Pihak Majlis Peguam sedang dalam proses merangka resolusi yang akan dihantar kepada 16,500 ahli di seluruh Semenanjung minggu ini.
EGM ingin mendapatkan mandat daripada ahlinya sebelum memajukan sebarang cabaran undang-undang.
“Badan kehakiman hanya boleh memberi keyakinan dan penghormatan kepada orang ramai melalui tingkah laku, di dalam dan luar mahkamah, dalam penghakiman perlu memperlihatkan kemurnian, kebebasan dan integriti,” kata Paulsen.
“Kami mengharapkan para hakim tidak takut untuk menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan kerana mereka bersumpah berbuat demikian semasa mengangkat sumpah kehakiman,” katanya.
Pelantikan minggu lalu mempunyai beberapa persamaan dengan krisis kehakiman 1988 yang menyaksikan Ketua Hakim Mahkamah Agung Salleh Abbas dipecat daripada jawatan dan lima hakim Mahkamah Agung lain digantung.
Yang di-Pertuan Agong memerintahkan tindakan itu, atas nasihat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Majlis Peguam ketika itu mempersoalkan pemecatan dan mengkritik peranan bekas ketua hakim negara Hamid Omar. Beliau mempengerusikan tribunal enam anggota yang akhirnya memecat Salleh, yang merupakan hakim Mahkamah Agung pada masa itu.
Pada tahun yang sama, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menghapuskan istilah “kuasa kehakiman” daripada Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Peguam berulang kali menyeru langkah mengkaji semula krisis kehakiman 1988 selepas Dr Mahathir mengakui beliau meminta Salleh meletak jawatan atau berdepan pemecatan.
Kali ini, peguam perlu bersatu dalam menghadapi sebarang cabaran undang-undang, kata Andrew Khoo, peguam Persekutuan Kristian Malaysia.
“Sebarang cabaran akan berdasarkan persoalan undang-undang dan prinsip, dan bukannya peribadi,” kata Khoo, yang dahulunya pengerusi jawatankuasa hak asasi bagi Majlis Peguam.
“Setiap tindakan mempunyai akibat, tetapi peranan Majlis Peguam adalah untuk menegakkan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau ahlinya. Secara adil dan saksama. “
Khoo berkata, pelbagai peruntukan undang-undang boleh digunakan untuk menentang pelantikan itu.
“Konflik teori adalah boleh dikatakan mana-mana hakim boleh dicalonkan sebagai ketua hakim. Akhirnya, dalam sebarang cabaran perundangan, hakim akan diminta menghormati sumpah mereka, untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Satu lagi harapan, kata peguam, adalah bagi orang ramai menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap hakisan pemisahan tiga cabang kerajaan: eksekutif, badan kehakiman dan perundangan.
Bagaimanapun, Azmi menjangkakan orang ramai tidak menyedari satu lagi implikasi krisis Perlembagaan.
“Ini isu yang agak rumit, kecuali dijelaskan dengan sangat ringkas kerana, kebanyakan orang tidak akan memahaminya. Tambahan pula negara kita dipenuhi isu tadbir urus dan rasuah yang besar. Ini, malangnya, akan kelihatan agak kecil kepada orang ramai, ” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam Malaysia, Surendra Ananth enggan memberi komen mengenai rancangan itu atau peluang kejayaan jika ia memfailkan cabaran undang-undang.
“Badan kehakiman memperoleh kekuatan daripada keyakinan orang ramai. Keyakinan itu boleh dikatakan sentiasa berada pada tahap yang rendah,” katanya. – 11 Julai, 2017.
Komen