Henti guna isu kaum dan agama dalam politik


Looi Sue-Chern

Kira-kira 70 pemimpin masjid dan gereja menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya antara agama di Hotel Ixora di Prai, Pulau Pinang, baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 6 Julai, 2018.

BARISAN kepimpinan baharu Pakatan Harapan (PH) tidak boleh meletakkan cita-cita politik lebih tinggi daripada keamanan dan harmoni di Malaysia, atau mereka berisiko mencetuskan masalah ketegangan agama dan kaum, kata kumpulan antara agama.

Presiden Global Unity Network (Unity) Shah Kirit Kakulal Govindji berkata pemimpin terdahulu meletakkan politik di atas nilai-nilai agama, yang menyebabkan ketegangan hubungan antara masyarakat.

“Kami tidak mahu masalah tentang kaum dan agama lagi. Jika anda bermain dengan api, ia akan merebak dan anda tidak akan mampu mengawalnya,” katanya dalam mesej kepada kepimpinan PH.

“Nilai agama perlu sentiasa mengatasi politik. Anda buat cara lain, maknanya anda salah guna agama untuk kepentingan politik.

“Sebagai ahli politik anda bukan saja mewakili kaum dan agama anda. Anda mewakili semua rakyat Malaysia dan berkhidmat tanpa takut dan pilih kasih,” katanya kepada media pada majlis rumah terbuka Hari Raya antara agama di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Hubungan antara kaum dan agama sering tertekan dalam beberapa insiden sejak sedekad lalu, dengan pengkritik menyalahkan kerajaan terdahulu Barisan Nasional kerana sering melagakan antara kaum bagi mengukuhkan kuasanya.

Shah Kirit berkata perubahan dalam kerajaan untuk membina Malaysia yang lebih aman, bersatu dan harmoni saja tidak cukup, kerana perubahan perlu datang daripada rakyat.

“Rakyat Malaysia juga perlu mengubah sikap dan bagaimana mereka melihat satu sama lain,” katanya, menambah ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak supaya menolak perkauman.

“Agama kita bukan masalah tetapi masalahnya ialah apa yang kita tidak tahu dan tidak amalkan dengan sempurna.

“Perlu diingat bahawa kita perlu saling menyayangi dan hidup bersama sebagai saudara,” katanya.

Rumah terbuka itu dihadiri oleh kira-kira 70 pemimpin masjid dan gereja di Hotel Ixora di Prai. Ia dianjurkan bersama oleh Unity together with Christians for Peace & Harmony in Malaysia (CPHM), dan Yayasan Amal Malaysia (YAM). – 6 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen