LANGSUNG: 'Pemberi maklumat polis' beri keterangan siasatan Suhakam hari ini


Noel Achariam

Norhayati Ariffin mendakwa beliau dimaklumkan oleh seorang pegawai polis yang pasukan khas dari Bukit Aman bertanggungjawab terhadap kehilangan suaminya, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2018.

SEORANG pegawai Cawangan Khas yang didakwa berkata pasukan polis terlibat dalam penculikan aktivis Amri Che Mat akan memberi keterangan kepada siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Sarjan Shamzaini Mohd Daud daripada Cawangan Khas Perlis dipanggil untuk memberikan keterangannya selepas beliau didakwa memberitahu isteri Amri, Norhayati Ariffin yang pasukan khas dari ibu pejabat polis persekutuan itu bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri dan Pastor Raymond Koh.

Norhayati kemudiannya membuat laporan polis mengenai pendedahan itu yang membawa kepada tindakan panel siasatan Suhakam menggesanya mengesahkan kenyataan itu.

Tetapi dakwaan itu dibatalkan kemudian apabila Ketua Polis Sentul, Penolong Pesuruhjaya R. Munusamy memberitahu panel siasatan yang satu laporan polis dibuat oleh Shamzaini, menafikan keterangan Norhayati.

Dalam keterangannya, Norhayati berkata Shamzaini memberitahu beliau dan anak perempuannya, Nur Amira, yang penculikan itu dilakukan atas arahan seorang pegawai kanan Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial, Cawangan Khas (E2) Bukit Aman.

Siasatan sudah mendengar keterangan daripada Norhayati dan Amira bulan lepas.

Amri didakwa disiasat kerana aktiviti perdagangan forex dan menyebarkan ajaran Syiah.

Beliau hilang pada 24 November 2016, dipercayai diculik oleh sekumpulan individu menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mengepung keretanya di Kampung Padang Behor.

Koh pula diculik pada 13 Februari tahun lalu oleh beberapa lelaki menaiki SUV hitam yang menyekat keretanya di sebuah jalan di Petaling Jaya.

Suhakam sedang melakukan siasatan awam terhadap kehilangan Amri, Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, untuk memastikan sama ada ia kes kehilangan melibatkan pihak berkuasa.

The Malaysian Insight membawa anda maklumat terkini daripada prosiding hari ini:

4.05pm: Gomez bertanya Shamzaini sama ada bahagian seperti Ancaman Ekstremis Sosial (E2) berkongsi maklumat dengan E5. 

Shamzaini menjawab ya.

Gomez bertanya Shamzaini dalam kes Forex dan Syiah adakah kedua-dua bahagian itu akan bekerjasama.

Shamzaini berkata kedua-dua bahagian itu bekerjasama. 

“Saya tidak tahu sebab saya tiada kena mengena dengannya.”

Gomez bertanya Shamzaini adakah ketuanya akan tahu.

Shamzaini menjawab beliau tidak tahu. 

Pemerhati polis, Ketua Polis Sentul Munusamy mencelah dan berkata Cawangan Khas tidak bekerja bersama. 

Siasatan berakhir dan akan bersambung pada 23 Julai. 

3.45pm: Peguam keluarga Amri, Jerald Gomez bertanya Shamzaini apakah peranannya di Bukit Aman.

Shamzaini berkata beliau bertugas di Jabatan Ekonomi (E5) di mana beliau menjalankan penyelidikan dan kajian. 

“Sebagai detektif saya terima maklumat berkaitan ekonomi daripada awam berhubung kos sara hidup, harga minyak dan lain-lain.

“Kami juga mengumpul data daripada media, menyediakan laporan dan ia akan dihantar kepada ketua saya untuk dianalisis.”

Gomez bertanya adakah bahagian itu turut menyiasat forex.

Shamzaini menjawab ya tapi ia bukan di bawah jabatannya. 

3.25pm: Mah bertanya Shamzaini adakah beliau belum pernah berjumpa Norhayati sebelum 12 Mei mengapa beliau memberi banyak masalah kepadanya. 

Shamzaini berkata Norhayati mahu mencari bukti kes suaminya dan beliau tidak memberi kerjasama. 

“Beliau mahu kaitkan kes Amri dengan polis teerutamanya Cawangan Khas. 

“Kerana saya enggan beri kerjasama dan berlaku pertengkaran. 

“Beliau sangat emosi dan mengulangi perkara yang sama. Beliau memberi tekanan kepada saya untuk katakan mereka yang terlibat.”

3.00pm: Pegawai Suhakam bertanya Shamzaini adakah belliau hubungi Norhayati untuk bertemu pada 12 Mei.

Shamzaini berkata beliau tidak menghubunginya. 

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai bertanya Shamzaini apakah yang beliau rasakan bila mendengar tentang laporan Norhayati. 

Shamzaini berkata beliau merasa gelisah dan marah. 

Mah kemudian bertanya Shamzaini mengapa tidak berdepan dengannya. 

“Saya mungkin marah dan hilang kawalan. Jadi saya buat laporan untuk nafikan kenyataannya.”

2.55pm: Pegawai Suhakam bertanya Shamzaini sekiranya beliau tahu mereka terletak bersebelahan mengapa beliau tidak pergi ke Perlis Hope untuk mendapatkan nombor telefon Norhayati.

Shamzaini berkata beliau tidak mahu mengganggu orang di sana.

Pegawai Suhakam bertanya sama ada Shamzaini kenal orang di Perlis Hope.

Shamzaini menjawab beliau tahu Perlis Hope.

Pegawai Suhakam kemudian memberitahu Shamzaini kenyataannya sebelum ini bahawa beliau tidak tahu Perlis Hope adalah bohong.

Shamzaini berkata beliau tidak setuju. 

“Bila saya pergi ke kedai, ia tidak dibuka. Jadi saya Google Perlis Hope untuk dapatkan nombor telefon mereka.

“Saya kemudian hubungi nombor itu ia tidak berjawab.”

2.45pm: Pegawai Suhakam bertanya Shamzaini sekiranya beliau tahu Parid Audio menyewa daripada Norhayati. 

Shamzaini berkata beliau melihat papan tanda dua tahun. 

Pegawai Suhakam bertanya Shamzaini bagaimana beliau tahu terdapat hubungan antara Parid Audio dan Perlis Hope.

Shamzaini berkata beliau hanya meneka kerana kedua-duanya terletak bersebelahan. 

12.15pm: Pegawai Suhakam bertanya Shamzaini mengapa dia menghabiskan masa dua jam di rumah Norhayati sedangkan dia bersedih dan tiada perbincangan mengenai menyewa kedai.

“Dia sedih dan saya cuba memujuknya dan meyakinkannya untuk tidak membuat laporan polis terhadap saya.

“Implikasinya adalah jika Norhayati membuat laporan, imej saya tercemar dan kerja terganggu.”

Pegawai Suhakam bertanya Shamzaini jika dia memaklumkan sesiapa pertemuan dengan Norhayati.

“Saya fikir tidak ada laporan polis dan semuanya selesai.”

Siasatan berhenti rehat dan akan diteruskan selepas solat Jumaat.

12.05pm: Pegawai Suhakam bertanya Shamzaini adakah pegawai polis dibenarkan menjalankan perniagaan.

Shamzaini berkata secara rasminya mereka tidak dibenarkan menjalankan perniagaan.

“Pegawai atasan saya kata boleh buat selagi ia tidak menjejaskan kerja saya.

“Saya ada bengkel di Perlis selama tiga tahun.”

11.40am: Shamzaini berkata pada 18 Mei beliau membuat laporan polis menafikan segala yang dikatakan oleh Norhayati.

Pegawai Suhakam bertanya Shamzaini kenapa mengambil masa dua hari untuk membuat laporan polis kerana tuduhan terhadapnya itu serius.

“Saya tidak mahu diberi tekanan dan membuat laporan mengikut masa saya. Saya mahu keadaan bertenang.”

Pegawai Suhakam bertanya apa maksudnya beliau tidak mahu diberi tekanan oleh sesiapa.

“Tekanan yang saya maksudkan ialah laporan yang dibuat terhadap pekerjaan saya dan imej sebagai pegawai polis.”

11.25am: Pegawai Suhakam bertanya tentang ada atau tidak siasatan dijalankan.

Shamzini berkata pada 17 Mei pegawai atasannya menjalankan siasatan (berhubung laporan Norhayati).

“Mereka soal saya dan saya beritahu semuanya apa yang berlaku.

“Mereka minta saya tidak hubungi sesiapa yang ada kaitan dengan Norhayati.”

11.15am: Shamzaini berkata Norhayati mula meragui adakah beliau pegawai polis.

“Dia kata saya tidak percaya kamu polis.

“Saya beritahu dia bahawa saya bukannya datang untuk bunuh dia dan saya tidak bawa senjata.”

Shamzaini berkata beliau kemudian menunjukkan kepada Norhayati kad pengenalan polis miliknya.

“Dia kemudian kata akan buat laporan polis bahawa saya juga terbabit (dalam kes Amri).

“Saya beritahu dia buatlah dan saya tidak peduli.”

10.45am: Shamzaini kemudian berkata Norhayati mula memberi tekanan kepadanya dengan menyebut Razman, Khor dan Awaluddin (pegawai polis) dan bertanya sama ada mereka terlibat dalam kehilangan Amri.

“Dia kemudian menuduh saya ke rumahnya untuk mendapatkan maklumat.

“Dalam perbualan selama dua jam, dia berkata tidak berpuas hati dengan polis.

“Saya memberitahunya jika tidak gembira, buat laporan polis. Dia kemudian berkata tidak mempercayai polis.”

10.25am: Shamzaini kemudian berkata dia memberitahu Norhayati dia datang untuk bertanya tentang sewa kedai.

“Mukanya berubah dan dia mula bercakap mengenai masalah kewangannya dan kesukaran membesarkan anaknya.

“Saya berasa tidak selesa dan mahu pergi, tetapi dia meminta saya tunggu kerana mahu berbincang lebih lanjut.”

10.10am: Shamzaini kemudian berkata dia ke rumah di sebelah Parid Audio pada pukul 9.30 malam.

“Saya membunyikan loceng beberapa kali dan kemudian wanita yang bercakap pada waktu pagi itu membuka pintu.

“Saya memperkenalkan diri saya sebagai Sham.”

“Kami kemudian pergi ke beranda untuk bercakap.”

Shamzaini berkata dia kemudian bertanya Kak (Norhayati) tentang Parid Audio dan menyewa tempat itu.

“Norhayati kemudian bertanya sama ada saya kenal Razman (Wan Razali) dan Wan (pegawai polis).

“Dia kemudian bertanya sama ada saya tahu tentang kehilangan suaminya. Saya katakan tidak tahu.”

Shamzaini berkata, kemudian Norhayati bertanya bagaimana dia tidak tahu mengenai kehilangan Amri.

“Kemudian saya berkata saya tahu dia hilang dua tahun lalu.”

9.50am: Shamzaini berkata dia bertanya kepada wanita itu mengenai Parid Audio dan dia berkata kedai ditutup sebenar.

“Saya kemudian bertanya jika kedai itu disewa dan dia meminta kembali pada sebelah malam dan berbincang.”

Pegawai Suhakam bertanya sama ada dia bertanya nama wanita itu dan dijawabnya tidak.

Pegawai Suhakam bertanya Shamzaini mengapa dia pergi ke Paris Audio.

Dia mengaku merupakan mekanik separuh masa, jadi dia mencari tempat untuk membuka kedai.

9.35am: Sarjan Shamzaini Mohd Daud daripada Cawangan Khas memberi keterangan.

Pegawai Suhakam bertanya sama ada Shamzani sudah berkhidmat selama 14 tahun.

Pegawai Suhakam bertanya sama ada Shamzaini berjumpa isteri Amri, Norhayati Ariffin pada 12 Mei.

Shamzaini berkata dia ke sana untuk memeriksa Parid Audio.

“Saya menelefonnya pada jam 9 pagi tetapi tiada jawapan.

“Pada 9.30 pagi dia menelefon saya kembali. Saya kemudian bertanya jika dia membuat ‘tinting’, dia kata tidak.”

Shamzaini berkata pada pukul 10 pagi dia bertemu dengan seorang wanita di sebelah Parid Audio. – 6 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen