Disiasat 21 jam masih tak selesai, Riza Aziz ke SPRM lagi esok


Melati A. Jalil

Pada Selasa, Riza, 48, disoal siasat selama sembilan jam, diikuti soal siasat kedua yang berlangsung selama enam jam, semalam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2018.

ANAK tiri Najib Razak, Riza Aziz dikehendaki hadir sekali lagi ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok walaupun sudah tiga hari berturut-turut diambil keterangannya oleh agensi anti rasuah itu berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siasatan tiga hari itu setakat ini sudah mencecah jam yang ke-21.

Riza hari ini meninggalkan ibu pejabat SPRM pada jam 6.30 petang selepas disoal siasat selama tujuh jam.

Beliau dijangka akan hadir semula ke Ibu Pejabat SPRM untuk kali keempat pada jam 10.30 pagi esok.

Pada Selasa, Riza, 48, disoal siasat selama sembilan jam, diikuti soal siasat kedua yang berlangsung selama enam jam, semalam.

Siasatan ke atas 1MDB di Malaysia dibuka semula selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Riza adalah penerbit filem dan pengasas bersama syarikat produksi filem Hollywood Red Granite Picturers, yang dituduh mendanai filemnya yang bernilai jutaan dolar menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan.

Riza memencilkan diri daripada khalayak ramai selepas namanya disebut dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) berhubung skandal 1MDB.

Pada Mac 2018, penerbit yang mengeluarkan filem bertajuk The Wolf of Wall Street, bersetuju untuk membayar sejumlah AS$60 juta kepada kerajaan AS bagi menyelesaikan saman yang dihadapinya kerana membiayai filem menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Red Granite Pictures dituduh menerima sejumlah AS$64 juta daripada keseluruhan AS$238 juta yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

DoJ percaya wang itu dipindahkan ke dalam akaun bank yang dikawal Riza.

Riza dituduh menggunakan dana itu untuk membeli hartanah mewah daripada ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menuduh Najib, yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan semasa 1MDB ditubuhkan, sebagai pihak yang bersubahat dalam penyelewengan dana negara itu.

Najib menafikan segala salah laku.

Selepas beberapa siasatan, serbuan dan soal siasat dijalankan, Najib akhirnya didakwa semalam dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan salah guna jawatan.

Pihak berkuasa berkata akan ada lagi dakwaan berhubung skandal 1MDB. – 5 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen