KUMPULAN yang dinamakan “Solidariti Bersama Datuk Najib” melancarkan kutipan derma bagi membantu Najib Razak membayar baki wang jaminan berjumlah RM500,000.
Kumpulan itu diketuai bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Mohamad Raffi.
“Kutipan derma ini dilancarkan untuk membantu Najib dari sudut kewangan bagi membolehkan beliau membayar wang ikat jamin dan yuran guaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kali terakhir Najib didakwa menerima derma adalah daripada keluarga diraja Arab Saudi iaitu berjumlah RM2.6 bilion, yang kini menjadi antara subjek siasatan yang dijalankan pihak berkuasa ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Razlan berkata bekas presiden Umno itu memerlukan bantuan kewangan kerana akaun bank keluarganya telah dibekukan.
Tambahnya, tabung derma itu akan dibuka pada Isnin, iaitu hari yang ditetapkan untuk Najib membayar baki wang jaminan.
“Derma ini akan hanya dibuka hari Isnin pada jam 12 tengah hari. Penyerahan derma akan dibuat kepada wakil Najib di mahkmah,” katanya.
Najib, 64, didakwa menggunakan jawatan untuk suapan berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terbabit bagi pihak negara bagi memberikan jaminan kerajaan untuk pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn. Bhd.
Mahkamah Tinggi menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta, dan mengarahkan Najib untuk menyerahkan pasportnya.
Hakim Sofian Abd Razak menetapkan perbicaraan dijangka bermula pada 18 hingga 28 Februari diikuti pada 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac 2019.
Bagaimanapun tidak diketahui jumlah kos yang akan dibayar bekas perdana menteri itu kepada barisan peguamnya yang diketuai Shafee Abdullah.– 5 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan