PEMIMPIN Umno yang diburu, Jamal Md Yunos didakwa di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada penangkapan yang sah di sisi undang-undang di Mahkamah Majistret Ampang hari ini.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu juga tidak dibenarkan ikat jamin oleh Majistret Mohd Firdaus Sadina Ali.
Jamal ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga kes disebut semula pada 30 Julai ini. Mahkamah juga menetapkan tarikh yang sama untuk penyerahan dokumen bagi perbicaraan.
“Mahkamah memutuskan untuk tidak memberikan ikat jamin,” kata majistret itu.
Peguam Jamal, Izzat Amri berkata anak guamnya sudah dibawa ke Penjara Sungai Buloh.
Jamal yang melarikan diri dari sebuah hospital di Ampang, Selangor pada 25 Mei lepas ditangkap di Indonesia, Isnin lalu. Pihak polis Indonesia hari ini menyerahkan Jamal kepada polis Malaysia di Jakarta, sebelum terus dibawa pulang ke tanah air.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur awal petang tadi, Jamal terus dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang untuk pendakwaan.
Beliau diiring polis masuk ke mahkamah pada jam 3.55 petang dengan tangan bergari, memakai baju hitam, seluar jeans biru dan topi hitam.
Beliau diekstradisi dari Indonesia dan diterbangkan menggunakan penerbangan Malaysia Airlines MH710 yang mendarat jam 2.50 petang di KLIA.
Jamal mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan.
Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Kahiruddin memberitahu mahkamah yang Jamal tidak boleh dibenarkan ikat jamin walaupun kesalahan itu dibolehkan ikat jamin.
“Jika dia dibenarkan ikat jamin, apa jaminan yang kita dapat yang dia tidak ada risiko melarikan diri kerana dia sudah melarikan diri sebelum ini.
“Dia tidak bekerjasama dengan polis dan lari ke Indonesia di mana dia terpaksa diekstradisi balik.”
Izzat berkata anak guamnya tidak berniat untuk melarikan diri dan melanggar undang-undang.
“Hakikat yang dia melarikan diri tidak tepat. Dia rasa dia sudah diikat jamin dan kerana itulah dia pergi.
“Anak guam saya akan bekerjasama, malah akan pergi ke balai polis setiap hari. Saya yakin dia tidak akan melarikan diri daripada pertuduhan.”
Jamal kemudian meminta kebenaran majistret untuk bercakap dan dibenarkan.
Katanya, beliau melarikan diri kerana rumahnya diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 26 Mei dan beliau bimbangkan pendakwaan politik.
“Saya ingat selepas tandatangan dokumen bebas untuk ikat jamin saya sudah bebas.
“Kemudian ada pula perubahan kerajaan.”
Jamal meninggalkan Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei.
Beliau kemudian pergi ke Indonesia dan tinggal di sana selama sebulan.
Jamal berkata, beliau berada di Sumatra dan bercadang hendak menyerah ke Kedutaan Malaysia di Jakarta apabila ditangkap polis negara itu.
“Saya ada pengalaman buruk di Indonesia, mimpi ngeri sepanjang sebulan saya di sana.”
Jamal juga merayu kepada mahkamah untuk membenarkan ikat jamin kerana beliau kurang sihat dan ada sakit belakang.
“Saya harap dapat ikat jamin kerana saya tak boleh tidur di lantai,” katanya. – 5 Julai, 2018.
Komen