ORANG Melayu masih memerlukan dasar tindakan afirmatif bagi mengurangkan ketidaksamaan dalam pendapatan, seorang ahli akademik memberitahu Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.
Ahli ekonomi Universiti Malaya (UM), Kamal Mat Salih berkata ketidaksamaan dalam pengangihan pendapatan ini juga menjadi faktor utama mengapa Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat sokongan penuh daripada orang Melayu.
“Sacara asasnya, saya beritahu mereka bahawa 70% daripada orang Bumiputera mengundi PH, jadi mereka tidak boleh lari daripada menangani keperluan kepada dasar Bumiputera,” kata profesor adjung di fakulti pengajian pembangunan ekonomi dan pentadbiran di UM.
Secara amnya diterima bahawa walaupun PH berjanji akan membantu golongan miskin, orang Melayu bimbang hak mereka tidak akan dipelihara oleh kerajaan baharu ini.
“Ketidaksamaan dalam kumpulan pendapatan ini melibatkan semua. Malah, sejak beberapa tahun ini, ketidaksamaan dalam kalangan orang Cina lebih teruk berbanding dulu,” Kamal memberitahu pemberita di Menara Ilham hari ini, selepas memberi taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan.
Beliau mencadangkan model ekonomi yang diinspirasikan daripada Scandinavia baharu, yang dipanggilnya model ekonomi Islam.
“Ia berada di antara pasaran berasaskan kapitalis dan pasaran sosialisme. Sistem ekonomi Islam ini lebih universal,” katanya. – 5 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen