POLIS menahan sekumpulan penjenayah dipercayai dalang bagi 19 kes samun dan beberapa kes curi kereta di pantai barat Sabah.
Kumpulan dikenali sebagai Geng Kelvin itu dipercayai menyamun barangan elektrik bernilai hampir RM800,000, wang tunai dan barang kemas sejak enam bulan lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Ramli Din hari ini.
“Kami percaya mereka turut terbabit dengan aktiviti jual beli kenderaan curi di Kalimantan, Indonesia melalui Lawas. Hasil soal siasat ke atas kumpulan terbabit, mereka mengakui mencuri empat kenderaan setakat ini,” katanya.
Katanya kumpulan terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun, diberkas dalam satu operasi yang dijalankan lebih 24 jam pada 4 Julai lalu.
Kumpulan itu diberkas di tiga lokasi berasingan, dua di sebuah rumah di Inanam dan satu kawasan berhampiran taman awam kata Ramli dan menambah siasatan turut mendapati enam suspek memiliki rekod jenayah lampau, kecuali seorang daripada suspek wanita.
“Modus operandi mereka adalah wanita akan memantau rumah kosong, manakala ahli lelaki memecah masuk dan diawasi oleh wanita dalam kereta untuk melarikan diri,” katanya.
Ramli berkata kumpulan terbabit juga pakar membuat kunci pendua dan mampu menghasilkan nombor pendaftaran palsu kenderaan ketika melakukan kegiatan curi.
“Kumpulan ini menghasilkan nombor pendaftaran palsu untuk samakan dengan kereta yang disasarkan. Ini membolehkan mereka melepaskan diri daripada sekatan jalan raya dan polis,” kata Ramli dan menambah ahli wanita kumpulan itu juga ditugaskan menyewa kenderaan untuk digunakan dalam kegiatan jenayah.
Enam daripada suspek juga positif dadah, dan wanita terbabit dipercayai rakan kepada tiga suspek lelaki berkenaan.
Kesemua suspek direman dan polis percaya kumpulan berkenaan turut terbabit dalam kegiatan jenayah lain.– 10 Julai, 2017.
Komen