KERAJAAN hari ini menafikan negara mengalami jurang defisit fiskal yang semakin melebar bagi tempoh lima bulan tahun ini seperti mana dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
“Jangan main isu defisit fiskal yang semakin melebar ini. Ia semua tuduhan tidak berasas.
“Kita kena tengok bagi keseluruhan tahun, tunggu Disember ini, kita akan dedahkan kesemua angka,” kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Dr Mohd Irwan Serigar kepada media di Putrajaya.
Beliau berkata demikian merujuk kepada akhbar The Edge pada Jumaat lalu, yang memetik daripada laporan Citi Research.
Defisit Fiskal menerusi istilah ekonominya membawa maksud penggunaan perbelanjaan kerajaan lebih besar berbanding pendapatan diperolehi.
Menurut laporan itu, Citi Research mendakwa jurang fiskal defisit negara melebar sebanyak RM30.5 bilion bagi Januari hingga Mei berbanding bagi tempoh sama pada tahun lepas dengan jumlah sebanyak RM26 bilion.
Situasi itu berlaku dikala Putrajaya pada Bajet 2016 lalu memotong peruntukan kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri.
Mengulangi sekali lagi laporan tersebut tidak benar, Mohd Irwan mendedahkan kerajaan kini berjaya mengutip hasil pendapatan negara sebanyak RM55 bilion.
“Saya yang pantau setiap hari. Dan selain itu kita juga bergantung pada dividen yang masuk dan Kerajaan juga mempunyai pendapatan lain dan dari situ kita turut memperolehi keuntungan.
Beliau berkata, antara hasil pendapatan kerajaan ialah menerusi penjualan tanah dan pengewangan aset kerajaan.
“Jadi pendapatan negara kita masih utuh malah kita memperolehi pendapatan yang lebih.”
Pada masa sama beliau berkata penambahan pendapatan hasil negara itu bakal menyaksikan pembentangan Bajet 2017 menjadi bajet menguntungkan buat negara.
Katanya, inflasi negara berjaya mencatatkan penurunan daripada 4.4 % pada tahun lepas kepada 3.9 % tahun ini.
“Kalau anda lihat rizab antarabangsa Bank Negara, ia semakin kukuh. Jadi ekonomi kita nampak baik, sebab itu kita akan dapat satu lagi bajet yang bagus tahun ini.” – 10 Julai, 2017.
Komen