PELAKSANAAN penurunan beg secara automatik (ABD) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 sedang dalam peringkat akhir, kata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Mereka berkata perbincangan dengan rakan syarikat penerbangan utama “berjalan lancar”, dengan yang terbaru bersama AirAsia pada minggu lepas.
“Kami di peringkat akhir di mana beberapa butiran operasi perlu diperkemas seperti menyelaraskan unjuran pertumbuhan bagi memastikan penggunaan ABD yang optimum dan berkesan di KLIA dan klia2.
“Kami menstrukturkan rancangan pelaksanaan ABD berdasarkan penggunaan syarikat penerbangan,” tulis MAHB di laman rasmi Facebook mereka hari ini.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes mengecam MAHB di laman Facebooknya kerana tiada kemudahan penurunan beg di lapangan terbang.
Fernandes mendakwa MAHB berjanji menyediakan 30 mesin pada Julai tetapi tidak berbuat demikian kerana kekurangan bajet.
Beliau menuntut MAHB berhenti bersikap monopoli dan menggesa Pengerusi MAHB Syed Zainol Anwar Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Strategi Azli Mohamed menyelesaikan masalah itu.
MAHB berkata syarikat itu menggariskan beberapa sasaran dalam pelan perniagaan lima tahun mereka (Runway to Success 2020).
“Setakat ini, kami terlibat secara berterusan dan bekerja rapat dengan semua pihak berkepentingan melalui perbincangan dan mesyuarat berkala,” katanya. – 10 Julai, 2017.
Komen