PERBICARAAN kes saman fitnah yang difailkan Anwar Ibrahim terhadap TV3 ditangguhkan esok susulan berlaku perubahan hakim dalam kes itu.
Peguam Latheefa Koya berkata hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini, Rohani Ismail sedang cuti sakit.
“Jadi sekarang Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim ambil alih kes itu tetapi perlukan sehari untuk membaca dokumen,” katanya.
Anwar tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 8 pagi tadi dan meninggalkan mahkamah 12.30 tengah hari dan dapat meluangkan masa beberapa jam bersama isterinya Wan Azizah Wan Ismail, selepas sesi mahkamah tamat.
Wakil media yang menunggu sejak pagi untuk bertanya Anwar mengenai isu politik membabitkan PKR dan parti pembangkang, tidak dapat bertemu Anwar apabila Jabatan Penjara menggunakan pintu lain membawanya keluar tanpa dikesan.
Anwar sebelum ini menyaman Utusan Melayu (M) Bhd dan ketua pengarang kumpulannya Abdul Aziz Ishak berhubung isu pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah tetapi kes itu selesai pada Oktober tahun lalu.
Saman itu selesai selepas dua defendan menyampaikan kenyataan kesal atas tindakan mereka, dan teksnya dibaca peguam mereka Wan Azmir Wan Majid di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noraini Abdul Rahman.
Dalam kenyataan itu, Utusan Melayu dan Abdul Aziz berjanji mereka atau ejen mereka, wakil dan pekerja tidak akan menerbitkan, mengulangi atau menyebabkan perkataan berkenaan disiarkan lagi.
Menurut terma penyelesaian, dua defendan berkenaan akan membayar kos RM50,000 kepada Anwar, yang diwakili peguamnya S. Ambiga.
Anwar memfailkan saman itu pada 8 Mac, 2013 mendakwa Utusan Melayu menyiarkan artikel di muka depan bertajuk “Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?” dan artikel di muka sembilan bertajuk “Tiga kumpulan menjadi dalang” pada 2 Mac, 2013.
Beliau mendakwa laporan itu turut disiarkan di Buletin Utama TV3 antara jam 8 hingga 9 malam hari sama.
Selain Utusan Melayu dan Aziz, Anwar juga menamakan TV3, pengarang urusan kumpulan Media Prima Berhad Shaharudin Latif dan pengarang berita Buletin Utama Ing Boon Seng sebagai defendan.
Saman terhadap TV3 masih diteruskan. – 10 Julai, 2017.
Komen