LANGSUNG: Bekas ketua Cawangan Khas sambung beri keterangan


Noel Achariam

Isteri aktivis Amri Che Mat, Norhayati Ariffin mendakwa polis terlibat dalam kehilangan suaminya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2018.

BEKAS ketua Cawangan Khas (SB), Awaluddin Jadid hari ini akan terus memberi keterangan pada inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai kehilangan aktivis Amri Che Mat.

Awaluddin dipanggil untuk memberi keterangan berkenaan pertemuannya dengan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin dan sama ada Bukit Aman terlibat dalam kes kehilangan Amri.

Pada inkuiri semalam, Awaluddin berkata polis tidak terlibat dalam kes kehilangan Amri dan beliau tidak tahu menahu mengenainya, seperti yang didakwa oleh isteri Amri, Norhayati Ariffin.

Awaluddin yang bersara dari Cawangan Khas tiga hari lalu, berkata beliau mengetahui mengenai laporan yang dibuat oleh Norhayati namun menafikan dakwaan wanita itu bahawa wanita itu mengenai penglibatan Bukit Aman.

Norhayati mendakwa seorang pegawai Cawangan Khas, Sarjan Shamzaini Mohd Daud dari Perlis datang ke rumahnya pada 12 Mei tahun lepas dan memberitahu yang suaminya berada di bawah pengawasan polis sebelum hilang.

Dia mendakwa Shamzaini memberitahunya yang Amri dan Pastor Raymond Koh ditangkap oleh Bukit Aman.

Selepas perjumpaan itu, Norhayati membuat laporan polis di Shah Alam pada 14 Mei.

Amri didakwa disiasat kerana menyebarkan ajaran Syiah.

Aktivis itu hilang pada 24 November 2016.  Amri dipercayai diculik sekumpulan individu menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dilihat mengepung keretanya di Kg Padang Behor, Perlis.

Suhakam sedang menjalankan siasatan awam mengenai kehilangan Amri, Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri Joshua, Ruth, bagi memastikan sama ada ia kes kehilangan paksa oleh pihak berkuasa.

The Malaysian Insight membawa anda maklumat terkini daripada prosiding hari ini:

1.00pm: Nizam kemudian bertanya kepada Awaluddin mengenai pertemuannya dengan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin pada 2016.

Peguam itu bertanya kepada Awaluddin yang dia berkata semasa siasatan pada Selasa bahawa mesyuarat itu adalah kunjungan hormat yang dibuatnya kepada Asri.

Nizam kemudian bertanya kepada Awaluddin mengenai testimoninya yang bahagiannya tidak terlibat dalam kes Amri.

Awaluddin berkata “ya”.

Nizam bertanya sekiranya ia kunjungan hormat mengapa terdapat slaid persembahan dan fail yang disediakan oleh bahagiannya untuk mesyuarat itu.

Peguam itu kemudian menunjukkan gambar slaid persembahan dan rumah Amri.

Nizam kemudian bertanya kepadanya mengenai gambar rumah itu.

Awaluddin berkata ia gambar pusat Syiah di Perlis.

Nizam bertanya kepada Awaluddin adakah dia itu rumah Amri.

Awaluddin berkata ia adalah pusat Syiah yang menjadi rumah Amri.

Nizam berkata berdasarkan testomoni Awaluddin yang bahagiannya tidak terlibat dalam kes Amri tidak benar.

Awaluddin tidak bersetuju.

Peguam kemudian bertanya dalam pertemuannya dengan Asri sama ada dia bercakap mengenai Perlis Hope.

Awaluddin berkata mereka bercakap mengenai Syiah.

Siasatan berakhir dan akan disambung semula esok.

12.45 pm: Nizam memberitahu Awaluddin bahawa Fatwa Kebangsaan ada menyatakan mengenai larangan menganut Syiah.

Beliau kemudiannya bertanya kepada Awaluddin adakah terdapat fatwa lain mengenai Syiah.

Awaluddin menjawab tidak.

12.20 pm: Nizam bertanya kepada Awaluddin apakah beliau bersetuju bahawa dalam satu artikel pada 2016, Ayob menegaskan tentang kumpulan Islamic State (IS).

Awaluddin bersetuju.

Peguam itu bertanya lagi, apakah Awaluddin bersetuju bahawa Ayob mahu polis menumpukan perhatian kepada IS dan Daesh, bukan Syiah.

Awaluddin berkata itu adalah pandangannya.

12.00 pm: Nizam bertanya kepada Awaluddin apakah beliau bersetuju bahawa Ayob berkata mengelaskan seseorang itu Syiah akan membahayakan orang itu.

Awaluddin tidak bersetuju.

Peguam itu bertanya lagi, apakah tindakan menggelar seseorang itu Syiah tidak membahayakan orang itu?

Awaluddin menjawab itu bukanlah satu masalah.

11.45 am: Nizam bertanya mengenai ucapan Awaluddin yang menyebut mereka akan bekerjasama dengan jabatan agama dan mengambil tindakan undang-undang tambahan memandangkan ISA dimansuhkan.

Peguam itu bertanya apakah tindakan udang-undang tambahan itu bermaksud di luar undang-undang.

Awaluddin tidak bersetuju.

Kemudian Nizam bertanya adakah Awaluddin bersetuju bahawa terdapat pegawai di Bukit Aman seperti DCP Ayob Khan Mydin Pitchay yang tidak bersetuju pasukannya harus menumpu kepada orang-orang yang menganut Syiah.

Awaluddin tidak bersetuju.

11.15am: Nizam bertanya kepada Awaluddin dia berkata demikian kerana ada kekurangan dalam badan kehakiman yang menyebabkan kes Syiah tidak boleh diselesaikan dengan pihak berkuasa agama.

Peguam itu juga bertanya Awaluddin sama ada dia berkata polis mesti melawan semula melalui NGO Islam.

Awaluddin tidak bersetuju.

Siasatan berhenti rehat sebentar.

11.00am: Nizam bertanya kepada Awaluddin agar menjelaskan kenyataannya mengenai terdapat Syiah di Putrajaya.

Awaluddin berkata ia berdasarkan kepada risikan yang dikumpulkan.

Mah kemudian mencelah dan bertanya sama ada ia bermaksud kawasan atau pentadbiran.

Awaluddin berkata ia berada dalam kerajaan.

Nizam bertanya kepada Awaluddin jika terdapat masalah disiplin dengan ahli-ahli perkhidmatan awam yang berfahaman Syiah.

Awaluddin berkata tidak sepanjang pengetahuannya.

Nizam bertanya kepada Awaluddin jika isteri Amri Norhayati Ariffin juga seorang Syiah.

Awaluddin berkata dia tidak tahu.

“Dia hanya menuduh saya (dalam laporannya). Dia menentang saya.”

10.50am: Nizam bertanya Awaluddin yang mengatakan terdapat juga anggota polis yang Syiah.

Peguam itu bertanya, sepanjang 40 tahun perkhidmatannya berapa kali dia merujuk pegawai polis yang berfahaman Syiah kepada jabatan agama.

Awaluddin mengatakan dalam kapasiti peribadinya ‘tiada’.

Dia juga berkata tidak mengetahui bilangan kes yang dirujuk.

10.30am: Nizam bertanya kepada Awaluddin apa yang dimaksudkannya ketika mengatakan mereka mempunyai banyak musuh seperti Syiah, malah terdapat juga Syiah di dalam badan kehakiman.

Awaluddin mengatakan iamusuh kerana ada fatwa kebangsaan dan negeri yang mengatakan Syiah adalah ajaran sesat.

Dia berkata jika terdapat unsur-unsur Syiah dalam badan kehakiman maka sukar untuk membawa kes ke mahkamah.

Nizam kemudian bertanya kepada Awaluddin sama ada dia mengatakan Syiah sudah masuk ke dalam badan kehakiman.

Awaluddin tidak bersetuju dan mengatakan pada masa itu dia hanya memberi nasihat.

10.10 am: Nizam berkata dalam ucapannya, Awaluddin menyebut PAS sepatutnya tidak menyertai Pakatan Rakyat.

Awaluddin berkata, sebagai orang Islam beliau hanya memberi cadangan untuk memelihara Islam.

Pesuruhjaya Mah Weng Kwai bertanya adakah polis terlibat dalam politik, dan Awaluddin menjawab tidak.

Kemudian Mah bertanya lagi mengapa Awaluddin berkata PAS tidak patut menyertai Pakatan Rakyat.

Awaluddin menjawab ia sekadar pandangan dan tiada tujuan politik.

“Apa yang lebih penting ialah soal keselamatan. Kadangkala apabila berucap, ada ‘terbabas’ sedikit.”

Nizam kemudian berkata ucapan Awaluddin itu berbaur politik.

Awaluddin tidak bersetuju dengan kata-kata Nizam.

9.45 am: Nizam bertanya lagi kepada Awaluddin jika beliau mempunyai asas kukuh atas dakwaannya bahawa ramai orang Melayu menjadi paderi.

Awaluddin berkata beliau bercakap berdasarkan pengalamannya.

Nizam kemudian berkata dalam ucapannya, Awaluddin berkata mereka (SB) dan NGO Islam cuba mengesan orang-orang ini (paderi Melayu).

Peguam itu bertanya lagi apakah Awaluddin bermaksud yang SB dan NGO sedang mencuba untuk mengesan paderi-paderi Melayu ini apabila beliau berkata mendapat maklumat mengenai mereka.

Awaluddin berkata mereka perlu mengesan orang-orang yang sudah dikenal pasti dan mengambil tindakan pemulihan.

9.30 am: Bekas ketua Cawangan Khasm Awaluddin Jadid meneruskan keterangan hari ini.

Peguam keluarga Amri, Nizam Bashir bertanya kepada Awaluddin mengenai ucapannya pada 2016 bahawa orang-orang yang merempat dan menghidap AIDS telah menjadi paderi.

Dalam ucapannya itu, Awaluddin berkata ramai orang Melayu telah menjadi paderi, kata Nizam.

Peguam itu kemudian bertanya apakah Awaluddin bercakap berdasarkan fakta.

Awaluddin berkata beliau merujuk kepada maklumat dan risikan yang mereka terima. – 5 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen