LARANGAN bagi membincangkan atau melaporkan (gag order) mengenai kes rasuah Najib Razak yang dikeluarkan mahkamah tidak berperlembagaan kerana ia melanggar hak kebebasan bersuara, kata peguam.
Peguam perlembagaan Lim Wei Jiet berkata perintah itu melanggar Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin setiap warganegara hak kebebasan berucap dan bersuara.
“Perbicaraan Najib adalah satu kes penting yang membangkitkan perbincangan mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah di peringkat tertinggi kerajaan. Orang ramai, terutama media, mempunyai minat yang besar - bahkan tugas - untuk turut serta dalam perbincangan tersebut,” katanya.
Peguam perlembagaan, Surendra Ananth berkata, perintah itu “bersifat kejam”, sambil menambah hanya Parlimen mempunyai hak untuk melarang perbincangan sebegitu.
“Ia menyekat kebebasan bersuara, yang merupakan hak dijamin Perlembagaan. Hak seperti itu hanya boleh dilarang oleh Parlimen, dengan jelas diperuntukkan dalam Perkara 10 (2) (a) Perlembagaan persekutuan,” katanya.
Surendra berkata adalah penting agar orang ramai dimaklumkan tentang apa yang berlaku dalam perbicaraan kerana kes itu melibatkan dana awam. Peranan media adalah penting dalam memastikan orang ramai boleh menilai, katanya.
Membenarkan perintah larangan itu seolah-olah mengatakan hakim mungkin dipengaruhi oleh laporan media, katanya.
“Satu-satunya orang yang akan membuat keputusan akhir adalah hakim. Mengikut perlembagaan, seorang hakim Mahkamah Tinggi dijangka membuat keputusan bagi sesuatu kes semata-mata berdasarkan merit.”
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Sofian Abd Razak semalam menerima permohonan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah perintah melarang orang ramai daripada membincangkan empat dakwaan terhadap bekas perdana menteri itu, dari sekarang hingga 8 Ogos apabila pengurusan kes didengar.
Peguam perlembagaan Syahredzan Johan berkata, memandangkan Malaysia tidak mengamalkan sistem juri, laporan media mengenai kes ini - sama ada merit atau sebaliknya - tidak akan menjejaskan Najib.
Beliau berkata tidak dapat dinafikan Najib tidak bersalah sehingga terbukti bersalah dan mempunyai hak mempertahankan dirinya terhadap semua tuduhan. – 5 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan