Warga Melaka daftar ahli Bersatu pada program sambutan Hari Raya


Low Han Shaun

Kehadiran Dr Mahathir pada program sambutan Hari Raya Bersatu di Melaka semalam disambut oleh penyokongnya.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Julai, 2017

RAKYAT Malaysia tidak pernah menolak hidangan percuma namun pada program rumah terbuka Hari Raya Bersatu di Melaka semalam, ia menjadi perkara terakhir dalam fikiran mereka.

Mereka hadir dengan satu tujuan: untuk mendaftar sebagai ahli parti baharu dalam Pakatan Harapan (PH).

Orang ramai dilihat mula beratur seawal jam 6 petang untuk mendaftar sebagai ahli Bersatu dan menikmati jamuan Raya pada program berkenaan.

Lissa Lay, 46 dari Sungai Udang berkata, dia tidak percaya tuduhan pemimpin Umno terhadap bekas perdana menteri dan pengerusi Bersatu Dr Mahathir dan hadir mendaftar sebagai sokongan.

“Saya tidak pernah sangsi dengan Dr Mahathir, walau banyak khabar angin mengatakan beliau tidak baik, ia tiada bukti,” katanya.

Lissa yang hadir bersama dua anaknya berkata, dia tinggal di Melaka dengan suaminya sejak 18 tahun lalu dan ingin melihat perubahan yang dibawa Dr Mahathir di negeri itu.

“Saya berasal dari Sabah dan suami saya warga Singapura. Saya tinggal di sini sudah 18 tahun dan berdepan dengan masalah seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kekurangan infrastruktur. Saya mahu lihat negara ini maju.”

Seorang lagi ahli Bersatu, Abu Hanifa Atan, 54 berkata adalah lebih baik pembangkang tidak bertelagah berhubung siapa yang akan mengetuai PH, walaupun dia memilih Dr Mahathir.

“Semua parti mesti bekerjasama, DAP, Amanah, PKR – Apa gunanya bertelagah? Lebih baik mereka duduk bersama dan berbincang secara baik.

“Dr Mahathir orang berpengalaman ketika beliau jadi perdana menteri selama 22 tahun, banyak perubahan yang dibawa di negara ini. Bukti ini lebih daripada cukup.”

Lee Pui Yan, 38 dari Bukit Baru berkata. Dia tidak percaya tuduhan pemimpin Umno terhadap Dr Mahathir.

“Saya tidak percaya mereka, jika benar apa mereka cakap, mengapa tidak sertakan bukti apa yang berlaku dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

“Apa jadi dengan janji Barisan Nasional untuk bantu rakyat? Saya tidak mahu wang, saya hanya mahu kerja dengan pendapatan yang bagus dan boleh membeli barangan rumah tanpa memikirkan poket kosong,” katanya.

Seorang lagi lelaki turut membawa keluarga dan rakannya ke program rumah terbuka itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, tiada sebab untuknya meragui Dr Mahathir dan berharap beliau menjadi pemimpin PH sekiranya bukan perdana menteri.

“Kerana usianya, saya rasa beliau tidak sesuai jadi perdana menteri, bagaimanapun saya harap beliau menjadi penasihat untuk negara dan parti.

“Anwar dipenjara dan tidak lagi sesuai, untuk bawa beliau kembali hanya merugikan masa dan sumber.”

Lebih 20,000 orang menghadiri program rumah terbuka anjuran Bersatu di Melaka, semalam. Program itu turut meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Dr Mahathir yang ke-92 hari ini. – 10 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen