Pendakwaan lambat, seperti tak sedia dakwa Najib, kata peguam


Nabihah Hamid

PEGUAM Najib Razak mempersoalkan tindakan pasukan pendakwaan yang dilihat tidak bersedia mengadakan perbicaraan anak guamnya dengan lebih awal.

Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri itu atas empat pertuduhan dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selama 19 hari mulai 18 Februari tahun depan.

“Kita minta Februari, Mac. Kita mahu lagi awal kalau boleh, tapi yang peliknya orang yang tuduh kita tidak sedia,” kata Shafee Abdullah kepada wartawan selepas proses pendengaran kes dan ikat jamin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya adakah peguam negara tidak punyai cukup bukti untuk kes pendakwaan, beliau enggan mengulas lanjut.

“Tak tahu, mungkin masih teraba-raba cari,” katanya.

Sementara itu Shafee turut meminta sekatan dibuat terhadap kenyataan media kerana ia boleh mengganggu proses perbicaraan.

“Kita minta sekatan terhadap kenyataan media yang dibuat oleh orang yang tiada kena mengena langsung dengan kes.

“Sekatan itu, siapa pun tak boleh buat perbincangan yang berniat untuk diterbitkan mana-mana media sama ada tradisional mahupun media sosial. Jika laporan, hanya apa yang berlaku secara klinikal tanpa campur aduk,” katanya.

Najib hari ini menghadapi tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu bagaimanapun menegaskan pendakwaan ini akan membersihkan namanya.

“Saya yakin atas ketidaksalahan saya. Ini peluang terbaik untuk saya bersihkan nama saya secara tuntas setelah ditohmah dan dituduh dengan begitu berat sekali,” kata Najib yang ditemui wartawan selepas keluar dari kamar mahkamah.

Hakim Sofian Abd Razak menetapkan perbicaraan dijangka bermula pada 18 hingga 28 Februari diikuti pada 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac 2019.

Mahkamah juga membenarkan Najib diikat jamin RM500,000 hari ini manakala bakinya dibayar pada Isnin. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen