PELAN Struktur Kuala Lumpur 2020 mungkin akan diwartakan sebelum hujung tahun ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.
Khalid berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) Mohd Amin Nordin Abdul Aziz Jumaat bagi membincangkan perkara itu.
“Pelan itu akan diwartakan tidak lama lagi dan kita akan cuba pastikan ia mengikut pelas asalnya,
“Ada beberapa kawasan yang sudah dipinda jadi kita akan menelitinya,” kata Khalid hari ini.
Mohd Amin sebelum ini berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewarta pelan itu pada penghujung tahun ini.
Beliau berkata DBKL memerlukan masa enam bulan lagi untuk menyelesaikan proses pewartaan plot-plot tanah dalam bidang kuasanya.
Menurut Amin, pewartaan pelan itu akan menjadikan tugas DBKL lebih mudah dalam menguruskan pembangunan Kuala Lumpur.
Draf pertama pelan itu didedahkan pada Mei 2008 namun selepas 10 tahun, DBKL masih meminda cadangan berdasarkan maklum balas yang diterima.
Khalid juga berkata mereka akan meneliti apakah tindakan wajar yang akan diambil.
“Jika projek sedang berjalan, kita tak boleh hentikannya, seperti MRT, LRT dan lebuh raya.
“Kita juga perlu menyemak pelaksanaan dan melihat apakah terdapat implikasi undang-undang atau kewangan.” – 4 Julai, 2018.
Komen