Orang BN dalam lembaga penasihat DBKL perlu letak jawatan, kata Khalid


Noel Achariam

SEMUA wakil Barisan Nasional (BN) dalam lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikehendaki segera melepaskan jawatan mereka, kata Khalid Samad.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata ahli lembaga yang dilantik melalui lantikan politik akan digantikan dengan ahli Parlimen Kuala Lumpur.

“Kalau mereka tak letak jawatan, saya akan beritahu Datuk Bandar (Mohd Amin Nordin Abdul Aziz) ganti lembaga.

“Ketika ini terdapat lapan ahli BN yang berada dalam lembaga. Mereka perlu meletak jawatan dengan segera,” kata Khalid selepas mesyuarat dengan ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur di Putrajaya hari ini.

Khalid berkata tempoh perkhidmatan wakil BN di Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan dikaji semula.

“Semua penjawat awam harus bekerja dengan kerajaan yang sedang memerintah,” katanya.

Beliau juga berkata buat masa ini, tiada keputusan untuk menukar datuk bandar.

Tambah Khalid, satu jawatankuasa akan ditubuhkan supaya DBKL mempunyai wakil ahli parlimen Kuala Lumpur.

“Kita mahu ahli Parlimen Kuala Lumpur mempunyai peranan dalam DBKL di mana mereka mengetengahkan masalah di kawasan mereka berkenaan bajet dan projek.

“Jika perlu, kita akan menyediakan kertas kabinet mengenainya.” – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen