NAIB Presiden Umno Hishammuddin Hussein berkata musuh utama Umno ialah ancaman daripada kumpulan militan Islamic State (IS), bukannya pembangkang.
“Rafizi Ramli bukan agenda kita. Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali bukan musuh kita, kita ada musuh yang lagi berat jauh lagi besar.
“Itu mereka yang sembelih kepala orang, bakar sana sini, itu sebenarnya agenda kita,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Cheras, di Kuala Lumpur hari ini.
Hishammuddin yang juga menteri pertahanan itu dalam ucapannya berkata meskipun ancaman IS masih belum berlaku di Malaysia namun tidak mustahil serangan kumpulan ekstremis itu akan terjadi.
“Bukan saya nak menakutkan, tapi inilah hakikatnya. Sekarang ini atas kejayaan pakatan bersama Filipina, Indonesia dan Malaysia menyebabkan IS di Marawi lari. Apa yang kita bimbangkan mereka ini akan lari ke mana,” katanya.
Pada sidang medianya selepas program itu, Hishammuddin berkata pembangkang tidak mempunyai pengalaman seperti Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menangani isu global itu.
Sehubungan itu, beliau menyarankan rakyat memilih kerajaan BN yang mempunyai pencapaian lebih baik berbanding pembangkang.
“Maksud saya jika rakyat nak pilih, biarlah pilih track record yang baik. Saya tak kata Umno BN sempurna tapi kita punyai track record yang baik,” katanya.
Sementara itu, Hishamuddin mencabar DAP mengadakan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) seperti diarahkan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Beliau berkata demikian ketika menjawab tuduhan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng mengenai arahan RoS itu sebagai agenda politik.
“Saya cabar mereka (DAP) kalau tak ada benda yang hendak disembunyikan buat apa yang RoS arahkan.
“Jangan halakan pandangan orang lain dan jangan menuding jari pada Umno dan BN. Ini masalah dalaman mereka, kita tidak ada kena mengena dengan dia,” katanya. – 9 Julai, 2017.
Komen