JIKA DAP mahu bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, ia perlu mematuhi arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS), kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata DAP ada kecenderungan untuk mengabaikan arahan RoS.
“Akibatnya ialah bila PRU diadakan, semua calon parti itu perlu disahkan.
“Jika surat mereka tidak dikeluarkan dan disahkan oleh RoS, itu bermakna calon berkenaan tidak boleh bertanding.
“Jika mereka hendak bertanding maka mereka perlu patuhi arahan RoS,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Gombak hari ini.
Pada Jumaat Ketua Pengarah RoS Mohammad Razin Abdullah berkata jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) yang dipilih pada 29 September 2013 sebagai tidak sah dan mengarahkan pemilihan semua dibuat.
Masalah DAP dengan RoS bermula selepas berlaku kesilapan teknikal dalam kiraan undi ketika pemilihan parti pada Disember, 2012.
Kesilapan itu kemudian menyebabkan ahli yang tidak berpuas hati memfailkan aduan kepada RoS menyebabkan CEC itu diisytiharkan tidak sah. DAP kemudian mengadakan pemilihan semula pada September 2013.
Lim Guan Eng berkata DAP sudah melakukan pemilihan semula ahli CEC pada 29 September, 2013 mengikut arahan RoS.
Zahid sekali lagi berkata beliau tidak akan campur tangan dalam RoS berhubung arahannya terhadap isu itu.
“Saya beritahu mereka (RoS) untuk bertindak secara profesional. DAP perlu ikut perlembagaan mereka walaupun pelantikan mereka ditandatangani pada 2013.
“Jika mereka tidak ikut undang-undang, maka calon mereka akan dianggap terbatal dan tidak sah.
“Ini mesej yang saya hendak sampaikan. Saya tidak campur tangan. Sebagai menteri dalam negeri saya hanya menyatakan apa terkandung dalam perlembagaan DAP,” katanya, menambah jika mereka rasakan perlu, mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah.
Terdahulu, Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata tidak masuk akal untuk DAP menggunakan senarai perwakilan yang sama bagi pemilihan semula CEC.
Semalam, CEC DAP dalam satu mesyuarat tergempar memutuskan tidak akan mengadakan pemilihan parti yang baharu dan akan meminta pertemuan dengan RoS untuk menjelaskan semuanya. – 9 Julai, 2017.
Komen