TIDAK guna untuk DAP menggunakan senarai perwakilan yang sama bagi pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC), kata setiausaha agungnya Lim Guan Eng hari ini.
Merujuk kepada arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Lim berkata mustahil untuk menggunakan senarai sama kerana sesetengah ahli sudah meninggalkan parti sementara yang lain seperti bekas pengerusi Karpal Singh sudah meninggal dunia.
Jika arahan sama perlu digunakan bagi pilihan raya umum pada 2013, Lim bertanya sama ada ia boleh dilakukan parti pemerintah Barisan Nasional untuk menggunakan senarai sama untuk kempen dan bertanding.
“Senarai perwakilan DAP dari 2012 dan senarai yang ada sekarang tidak sama. Ada perwakilan tidak lagi bersama parti. Kita kena panggil Karpal balik mengundi?
“Katakanlah PRU 2013 tidak sah dan sekarang kita perlu pilihan raya semula selepas empat tahun. Adakah itu bermakna apa yang perdana menteri sekarang buat selama ini tidak sah?
“Dan kini Najib Razak dan Dr Mahathir Mohamad (pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia) perlu duduk bersebelahan lagi? Dr Mahathir masih bersama BN pada 2013,” katanya kepada media di Pulau .
Pada Jumaat Ketua Pengarah RoS Mohammad Razin Abdullah berkata CEC yang dipilih pada 29 September 2013 sebagai tidak sah dan mengarahkan pemilihan semua dibuat.
Masalah DAP dengan RoS bermula selepas berlaku kesilapan teknikal dalam kiraan undi ketika pemilihan parti pada Disember, 2012.
Kesilapan itu kemudian menyebabkan ahli yang tidak berpuas hati memfailkan aduan kepada RoS menyebabkan CEC itu diisytiharkan tidak sah. DAP kemudian mengadakan pemilihan semula pada September 2013.
Semalam, CEC DAP dalam satu mesyuarat tergempar memutuskan tidak akan mengadakan pemilihan parti yang baharu dan akan meminta pertemuan dengan RoS untuk menjelaskan semuanya.
Lim berkata DAP sudah melakukan pemilihan semula ahli CEC pada 29 September, 2013 mengikut arahan RoS.
“Keputusan pemilihan semula itu dihantar kepada RoS pada 8 November, 2013 selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan kami dan Akta Persatuan 1966. Jelas dinyatakan dalam laporan yang kami gunakan senarai delegasi parti 2012 melibatkan 2576 delegasi yang layak,” katanya.
Lim, yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi sama ada parti itu akan mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang untuk menyelesaikan isu DAP dengan RoS, dan menegaskan parti itu perlu bertemu dengan agensi berkenaan terlebih dulu. – 9 Julai, 2017.
Komen