Ini peluang terbaik bersihkan nama, kata Najib 


Bede Hong

Saya percaya saya tak bersalah. Ini adalah peluang terbaik untuk saya membersihkan nama, selepas saya difitnah dan dituduh buat jenayah, kata Najib Razak yang didakwa atas empat pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 Julai, 2018.

BEKAS Perdana Menteri Najib Razak mempersiapkan dirinya untuk perbicaraan penuh kes pecah amanah dan salah guna kuasanya, berkata ia akan jadi peluang terbaik membersihkan namanya.

“Saya percaya saya tak bersalah. Ini adalah peluang terbaik untuk saya membersihkan nama, selepas saya difitnah dan dituduh buat jenayah,” katanya kepada wartawan di Tingkat 5 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bekas perdana menteri yang berada di mahkamah selama enam jam hari ini berkata tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan SRC International adalah pendakwaan berunsur politik.

“Ini memang dijangka, seperti diharapkan kerajaan baharu. Jika ini harganya yang saya perlu bayar untuk 42 tahun berkhidmat kepada negara, jika ini harganya yang saya perlu bayar, jadi biarlah.

“Apa yang saya harap dan doa adalah keadilan akan dijunjung selaras dengan undang-undang.”

Najib juga berkata beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan kes hari ini: “Hakim sudah buat larangan bersuara. Saya hormati keputusan hakim. Saya tak akan bercakap banyak lagi (berkaitan kes),” katanya.

“Saya mahu berterima kasih kepada SPRM dan pasukan keselamatan yang melayan saya dengan baik dan menghormati saya sebagai bekas perdana menteri.

“Saya harap proses akan berjalan lancar. Saya harap penyokong saya kekal tenang. Saya terkejut dengan kehadiran dan sokongan moral mereka untuk saya. Walaupun saya tak minta, mereka datang hasil inisiatif sendiri. Terima kasih. Dan seperti yang saya cakap sebelum ini, saya harap Allah makbulkan harapan dan doa saya.”

Najib kemudian disambut sorakan penyokongnya sebelum meninggalkan mahkamah. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen