PEGUAM Najib Razak, Shafee Abdullah menggesa akses dokumen kes diberikan kepada pasukan pembelaan, berkata mereka hanya diberikan kertas pendakwaan menerangkan pertuduhan dikenakan ke atas bekas perdana menteri itu.
Peguam terkenal itu juga mempertahankan permohonannya untuk sekatan bersuara interim, berkata ada senggang masa sehingga pengurusan kes didengar pada 8 Ogos nanti.
“Mereka boleh jadi kasar, tapi saya tak jangka mereka untuk jadi tak adil,” katanya kepada wartawan selepas menghabiskan enam jam dengan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
“Peguam ada darjah keangkuhan tertentu. Intelektualnya, kami angkuh, tetapi saya tak mahu orang fikir saya tak adil. Saya hara pada parameter, dan keadilan ditegakkan.”
Najib didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa berkaitan RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada SRC International Sdn Bhd.
SRC International adalah bekas anak syarikat pelaburan negara yang sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibentuk dan pernah diketuai Najib.
Hakim Mahkamah Tinggi Sofian Abd Razak hari ini membenarkan permohonan Shafee yang juga ketua peguam bela Najib untuk mendapatkan perintah menyekat semua pihak termasuk ahli politik dan media daripada membincangkan hal-hal berkaitan kes itu, mulai sekarang hingga 8 Ogos, iaitu apabila kes didengar.
Bagaimanapun, perintah itu tidak meliputi laporan berita mengenai prosiding mahkamah.
Shafee berhujah perintah larangan itu penting bagi mengelak sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan kes anak guamnya.
Beliau memetik insiden bagaimana anak guamnya menjadi subjek “dibicarakan oleh media”, walaupun sebelum Najib didakwa di mahkamah hari ini.
Apabila ditanya sama ada pihak pendakwaan mempunyai kes yang bagus terhadap Najib, Shafee berkata: “Kami mempunyai barisan pembelaan yang bagus dan anda akan melihatnya apabila perbicaraan bermula.” – 4 Julai, 2018.
Komen