Pendakwa akan cabar perintah larangan bersuara dalam kes Najib


Kamles Kumar

Peguam Negara Tommy Thomas berkata pihaknya akan mohon membatalkan perintah itu selepas peguam Najib Razak memfailkan permohonan secara rasmi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 Julai, 2018.

PEGUAM Negara Tommy Thomas akan membantah perintah larangan bersuara interim oleh mahkamah dalam pendakwaannya terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Pihak pendakwaan berpendapat perintah itu yang dimohon oleh peguam Najib, Shafee Abdullah tidak perlu dilakukan.

“Kami tidak minta perintah larangan bersuara itu, kami bantah. Kita tidak tahu berapa luas skop perintah itu,” kata Thomas pada sidang media selepas pendakwaan itu.

Mahkamah membenarkan permohonan Shafee yang juga ketua peguam bela Najib untuk mendapatkan perintah menyekat semua pihak termasuk ahli politik dan media daripada membincangkan hal-hal berkaitan kes itu.

Shafee berhujah perintah larangan itu penting bagi mengelak sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan kes anak guamnya.

Beliau memetik insiden bagaimana anak guamnya menjadi subjek “dibicarakan oleh media”, walaupun sebelum Najib didakwa di mahkamah hari ini.

Hakim Sofian Abd Razak membenarkan permohonan perintah larangan itu secara interim.

Beliau bagaimanapun berkata Shafee perlu membuat permohonan secara kekal dan tempoh interim hanya untuk 14 hari.

Thomas berkata beliau akan tunggu dan lihat butiran dalam perintah itu sebelum membuat permohonan membatalkannya.

Terdahulu di mahkamah, Thomas berkata beliau akan membantah perintah itu kerana ia menyekat kebebasan bersuara terutama bagi kes berprofil tinggi seperti ini.

“Kami akan bantah. Seluruh dunia bercakap tentangnya. Seluruh dunia akan mengulas kes itu dan rakyat Malaysia akan berdiam diri.

“Mereka perlu membuat permohonan rasmi dan kami akan membantahnya,” katanya. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen