Lupakan kemelut parti, kos sara hidup risaukan penduduk Bangsar


Diyana Ibrahim

Nurul Izzah sewaktu pertemuan dengan penduduk Bangsar hari ini mengakui yang masalah menentukan kepimpinan PH masih belum dapat ditangani. – Gambar The Malaysian Insight Najjua Zulkefli, 8 Julai, 2017.

BAGI penduduk Bangsar, apa yang dirunsingkan mereka ialah mengenai isu kenaikan kos sara hidup dan bukannya kedudukan Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan.

Lebih daripada itu, mereka juga menuntut untuk mendapat berita yang lebih telus mengenai skandal dan penyelewengan duit rakyat daripada kerajaan Barisan Nasional.

“Kita memang tidak puas hati dengan apa yang berlaku sekarang ini, kita amat mahukan jawapan dan apa berlaku sekarang kita tidak dapat,” kata seorang penduduk Bangsar yang hanya mahu dikenali sebagai Adam kepada The Malaysian Insight.

Adam antara 40 daripada kalangan penduduk Bangsar yang hadir dalam forum pencerahan ‘Who Moved My 22 Carat Pink Diamond and Other Stories’ di Bangsar hari ini.

Beliau mengakui ketidakfahaman PH dalam isu dalaman mereka tidak mengugat keyakinannya bahawa barisan pembangkang itu dapat mengubah Malaysian menjadi sebuah negara lebih baik dari hari ini.

“Saya percaya PH boleh mengubah Malaysia, sistemnya sebab kita dah terlalu lama dengan parti itu, 60 tahun sudah terlalu lama jadi rakyat perlukan satu pembaharuan.

“Saya masih percaya PH, tentang isu dalaman mereka itu bukan perkara paling penting sebab ia biasa.

“Mana- mana parti politik sudah tentu mesti ada yang tidak sepakat bukan kata PH saja samalah macam keluarga, ada hal yang mereka tidak sepakat.”

Beliau menyokong forum yang berlangsung dalam suasana santai itu dimana Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Naib Ketua Pemuda PKR Fahmi Fadzil tampil menjawab segala isu semasa itu sebagai bertepatan dengan kehendak rakyat yang inginkan pencerahan.

Program tersebut menyaksikan Nurul Izzah menjelaskan kepada penduduk Bangsar mengapa sehingga kini barisan Pakatan Harapan masih belum dimuktamadkan.

Akui ahli Parlimen Lembah Pantai itu proses untuk mencapai kata konsensus bagi semua pihak PH adalah tidak mudah.

“Kita bercakap tentang mengubah pandagan orang terhadap (Dr Mahathir) bukan mudah, sebab kita bercakap mengenai hati dan perasaan jadi ia tidak mudah

“Ini adalah proses tapi yang kita perlu faham jika lebih ramai pemimpin, lebih ramai sukarelawan, lebih ramai aktivis maka akan lebih senang kita sebab sangat jelas apa yang PH ialah Malaysia terlebih dahulu sebelum parti politik,” katanya sambil turut mendedahkan PH bakal mengadakan mesyuarat semula pada minggu depan.

Sebelum ini dilaporkan PH beberapa kali menangguhkan pengumuman senarai pimpinan mereka selepas sebahagian pemimpin PKR dikatakan tidak bersetuju dengan cadangan menamakan Dr Mahathir sebagai pengerusi.

Gabungan pembangkang itu terdiri daripada PKR, DAP, Amanah.

Seorang lagi penduduk Bangsar yang hadir dalam program tersebut, Venu, 84, mahu melihat PH lebih memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup.

“Apa yang saya mahu dengar daripada mereka ialah mereka memperjuangkan kos sara hidup, apakah penyelesaian mereka, cadangan untuk menangani isu ini,” kata pesara kerajaan yang telah tinggal di Bangsar selama 48 tahun.

Tubuhkan Suruhanjaya Kebangkitan dan Pendamaian.

Sementara itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata penubuhan Suruhanjaya Kebangkitan dan Pendamaian dilihat sebagai salah satu cara yang boleh dilakukan PH sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke 14.

“Suruhanjaya ini membolehkan kita tahu siapa yang terlibat mengenai isu berkaitan penyelewengan kehilangan aset negara.

“Niatnya bukan untuk mengejar, menangkap yang bersalah tetapi lebih mencari kebenaran.”

Katanya lagi, antara mekanisme dicadangkan ialah pengampunan mereka mengembalikan harta rakyat yang dicuri.

“Cadangan ini pernah dibangkitkan NGO Hakam dan secara peribadinya saya rasa ia juga merupakan antara cadangan yang boleh diangkat.

Namun katanya ia tidak bermaksud ada sesetengah individu yang terbukti bersalah akan terlepas daripada sebarang hukuman.

“Apabila Suruhanjaya dapat membuktikan mereka bersalah dan ada saranan untuk menghukum mereka kita akan ikut juga apa saranan Suruhanjaya.”

Kata Fahmi, sistem tersebut pernah digunapakai beberapa negara seperti Afrika Selatan, Indonesia dan Filipina. – 8 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen