EMPAT tahun lalu, ketika Rosli Sidek, 51, dihalau seorang imam hanya kerana dirinya golongan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) persoalan yang bermain di fikirannya ialah kenapa masyarakat begitu prejudis dan menghukumnya.
Beliau berkata tindakan imam itu yang tergamak mengaibkan dirinya dan rakannya dianggap tidak patut dilakukan seseorang yang bergelar agamawan.
Insiden itu berlaku ketika beliau bersama rakannya menghadiri majlis pengebumian.
“Ketika itu saya dan rakan, ada yang berpakaian perempuan dengan baju kurung dan tudung tapi masa itu kami ingatkan sembayang jenazah rakan akan dibuat di rumah.
“Namun keluarga arwah tukar buat solat di masjid. Tapi bila kita sampai hendak masuk, imam masjid tersebut terus maki dan halau kami.”
Itu antara sebahagian pengalaman pahit yang dikongsi Rosli atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ros Suci’ kepada The Malaysian Insight.
Terkilan dengan kejadian itu, Rosli berkata menjadi golongan LGBT di negara ini tidak mudah kerana sikap masyarakat yang tidak terbuka dan suka menghakimi mereka.
Katanya, sepanjang bergelar LGBT, disindir masyarakat menjadi perkara normal, dan mengakui sudah lali dengan reaksi begitu.
Bagaimanapun, Rosli masih bernasib baik kerana keluarganya tidak pernah menyisihkan dirinya walau beliau seorang LGBT.
“Kebanyakan masyarakat pandang LGBT ini mesti buat pekerjaan salah, menyalahi undang-undang tapi mereka tak mendekati kami hanya tahu menghukum saja .
“Kita nak tutup mulut orang pun tidak boleh, jadi saya dah tidak peduli pasal itu semua saya jadi diri saya sendiri. Bagi saya asal keluarga terima saya sudah cukup, yang lain itu antara saya dengan Tuhan.”
Rosli berkata beliau tidak pernah memilih menjadi LGBT tetapi sudah mempunyai naluri itu sejak dari kecil lagi.
Mempunyai tujuh adik beradik perempuan, Rosli menolak latar belakangnya yang dikelilingi perempuan mempengaruhi kecenderungan seksualitinya.
“Nak kata sebab semua adik beradik saya perempuan tidak juga sebab dari kecil naluri saya dah begitu. Masa saya tadika walaupun ayah saya pakaikan baju lelaki saya menangis minta tukar nak pakai baju perempuan.
“Jadi saya rasa macam semulajadi sebab kita daripada kecil kita tak pilih.
“Saya rasa tak ada pun masa kecil kalau orang nak tanya kita nak jadi apa, kita jawab nak jadi LGBT.”
Rosli juga merupakan salah seorang pelajar kelas mengaji yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Amal Firdausi Kuala Lumpur (Pafi).
Pafi memahami tidak menghukum
Malah temu bual ini dijalankan selepas Rosli selesai kelas mengaji yang diadakan di pejabat Pafi, di Bandar Baru Ampang.
Presidennya Raffie Jaafar berkata hasratnya menubuhkan Pafi ialah supaya dapat menjadi platform kepada komuniti tersebut.
“Kita tengok kalau penagih dadah mereka ada pusat serenti, banduan pemulihannya di penjara. Tapi apa platform untuk komuniti ini, jadi kita gerakkan Pafi supaya sekurang-kurangnya ada tempat khas untuk mereka menuntut ilmu agama,” kata penerima tokoh sukarelawan Maulidur Rasul 2016 itu.
Sejak ditubuhkan pada 2009, pelbagai program dianjurkan seperti kelas mengaji dan agama pada setiap Khamis dan Jumaat yang diadakan pada sebelah malam.

Pada masa sama, Raffie berkata usaha Pafi adalah membimbing daripada sudut kerohanian tanpa paksaan untuk mengubah golongan tersebut.
“Kita tidak memaksa untuk berubah sebab pendekatan kita sebenarnya memahami mereka dan tidak menghukum.
“Untuk mereka berubah itu semua kerja Tuhan, tugas Pafi cuma membantu daripada sudut kerohanian dan menyediakan tempat untuk belajar agama, itu saja.”
Hal itu diakui Rosli yang merasakan cukup selesa belajar kelas agama bersama Pafi sejak September tahun lepas.
Katanya, tidak seperti NGO atau pihak lain yang dilihat cuba memaksa mereka berubah, pendekatan Pafi sangat berbeza.
“Saya belajar di sini sebab tidak ada paksaan, ustaz pun sangat ‘sporting’ terima kita seadanya dan tidak ada nak menghakimi kami.
“Bukan saya saja tapi ramai juga rakan saya yang ikut belajar,” kata Rosli yang mengenakan baju Melayu berwarna merah dan berseluar hitam hari itu.
Katanya, meskipun beliau tergolong dalam komuniti LGBT namun tetap menjalankan kewajipan sebagai umat Islam.
“Sebelum ini saya memang sembahyang, kalau pergi masjid atau surau saya akan pakai jubah, tak pakai pakaian perempuan pun, rambut saya ikat.
“Cuma tidaklah macam lima kali sehari, ada jugalah tinggal, dan sama macam kelas mengaji, bila saya tahu ada kelas, memang nak datang sebab senang ada ustaz yang boleh tolong betulkan bacaan kita,” katanya.
Sementara itu, Raffie berkata Pafi mengupah dua tenaga pengajar untuk kelas berasingan lelaki dan perempuan dengan jumlah kehadiran sekitar 20 hingga 25.
“Kita mengupah seorang ustaz untuk mengajar LGBT yang asalnya mereka ini lelaki dan ustazah untuk LGBT yang asalnya mereka perempuan.”
LGBT muhrim sah berjemaah
Raffie berkata golongan LGBT mempunyai tekanan daripada orang sekeliling apabila pergi ke masjid untuk bersembahyang.
Ini kerana meski komuniti tersebut memakai baju lelaki tetapi fizikal dan perwatakan lembut mereka menarik perhatian jemaah lain di masjid.
“Sebab mereka ini ada yang datang dengan baju melayu tapi kita boleh nampak gaya mereka berbeza, ada muka jambu dan ada pula mak nyah yang ada buah dada.
“Jadi biasanya pandangan sekeliling sinis terhadap mereka, akan menyebabkan mereka rasa rendah diri dan tidak diterima,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa jemaah lain di masjid untuk lebih terbuka dan cuba memulakan usaha menyapa mesra dan memuji supaya LGBT ini akan lebih bersemangat dan tidak berasa tersisih.
“Kerana itu kita kena didik masyarakat apabila mak nyah ini masuk dalam jemaah lelaki, mereka ini sama muhrim jadi boleh disalam jangan ragu- ragu,” katanya merujuk kepada golongan LGBT mak nyah dan gay.
“Tapi jika golongan tersebut berpakaian perempuan meskipun asal mereka lelaki, kita tidak boleh komen sangat.”
Raffie berkata setakat in pelajar LGBT di Pafi tidak ada berpakaian bercanggah dengan jantina asal mereka ketika menghadiri kelas.
“Kalau untuk lelaki mereka akan pakai baju lelaki dan perempuan lengkap dengan baju kurung,” katanya. – 9 Julai, 2017.
Komen