Wanita Islam minat selamatkan anjing liar


Jason Santos

Anna Lyn menunjukkan seekor anjing berusia tiga tahun dinamakan Miko yang diselamatkan ketika masih kecil di Telipok, Sabah. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Julai, 2017.

BUAT seketika, terlintas rasa ragu-ragu di hati seorang penyelamat anjing liar, Anna Lyn ketika mendengar berita Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata wanita Islam sepertinya tidak boleh memelihara anjing.

Tetapi kemudian dia mendapatkan khidmat nasihat rakannya dan memutuskan dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Saya tidak simpan anjing di dalam rumah kerana saya solat di situ,” katanya.

Anna, 40, mengendalikan pusat perlindungan haiwan di rumahnya di Taman Kingfisher di Likas, Sabah sejak 2014.

Sebelum itu, dia mengendalikan pusat perlindungan di Taman Nelly di Inanam.

“Saya tidak ingat berapa jumlah kucing yang saya ada, mungkin lebih 60 sekarang. Saya ada 15 anjing pada masa ini. Pusat perlindungan saya jadi tempat pemulihan juga untuk haiwan tua dan cedera,” katanya.

Pusat perlindungannya ialah salah satu daripada 10 rumah untuk anjing liar mendapatkan rawatan, sterilisasi dan jagaan di Kota Kinabalu sebelum dihantar ke Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) untuk dijadikan haiwan peliharaan, atau dibebaskan.

Minat Anna untuk menyelamatkan anjing liar yang cedera bermula pada 2010 ketika menjadi ahli SPCA di Kota Kinabalu, selepas dipujuk rakan rapatnya.

Kasihnya terhadap haiwan dipupuk oleh ibunya yang membenarkannya membesar dikelilingi haiwan peliharaan kerana dia anak tunggal.

Tetapi Anna juga seorang Melayu, Islam dan di Malaysia ia boleh menimbulkan masalah walaupun niatnya baik untuk menjaga haiwan.

Dia dihina umat Islam lain sejak memulakan kerja menyelamatkan haiwan tetapi berkata ia tidak pernah melemahkan semangatnya.

“Mereka selalu kata apa saya buat tidak diberkati Tuhan, tetapi saya jadi biasa dengan tohmahan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Anna berkata dia tidak bersendirian. Katanya, ada rakan penyelamat yang juga beragama Islam sepertinya di Kota Kinabalu.

“Sebenarnya, kami (umat Islam) boleh sentuh anjing tetapi lepas menyentuh, kami perlu samak,” katanya.

Anna dan pasukan penyelamat sukarelawan dari SPCA Kota Kinabalu sering diharapkan oleh masyarakat setempat untuk mengendalikan haiwan liar, sama ada yang ditemui di kawasan hutan atau bandar, atau di dalam longkang.

Tetapi pada hari bekerja, Anna mengajar bahasa Inggeris di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan. Waktu bekerja yang fleksibel membolehkannya melakukan kerja sukarelawan.

Anna juga mengalu-alukan organisasi bukan kerajaan seperti Bantuan untuk Perlindungan dan Kebajikan Haiwan dan SPCA datang ke pusat perlindungannya untuk membersihkan haiwan yang baru dibersihkan.

The Malaysian Insight mengikuti Anna baru-baru ini dalam misi menyelamatkan anjing liar yang terperangkap di bawah jambatan di Luyang.

Dua lagi sukarelawan dari SPCA Kota Kinabalu sudah pun menemui anjing itu ketika Anna tiba dengan jaring dan pengangkut anjing.

Tanpa ragu-ragu, mereka turun ke longkang, menghampiri tempat anjing itu berada di longkang yang agak dalam.

Seorang sukarelawan menanti di sebelah bahagian jambatan dengan Anna dan yang lain, membentuk sekatan sementara seorang lagi merangkak ke bawah jambatan untuk menangkap anjing itu dengan jaring.

Dengan sekali “woof!”, anjing itu dapat diselamatkan.

Kemahiran dan keyakinan Anna dalam mengendalikan anjing semakin baik selepas menghadiri latihan cara menangkap anjing di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.

Malah, ada juga orang datang kepadanya membawa haiwan mereka yang sakit, kerana menyangka dia seorang doktor veterinar.

Anna berkawan dengan sukarelawan yang menjalankan pusat perlindungan lain. Ada kira-kira 10 pusat menjalankan misi menyelamat dan mereka akan berkongsi tanggungjawab seperti mengagihkan haiwan yang diselamatkan.

Bagaimanapun, katanya perkara paling sukar dalam kerja menyelamatkan haiwan ialah ketika hendak berpisah dengan haiwan yang diselamatkan itu.

Anna akan rasa sayang dengan semua haiwan itu dan memeliharanya sehingga ada orang lain mahu mengambil mereka.

“Ada sekali saya beri enam anjing kepada seseorang yang tinggal di Kota Belud. Saya sering ke sana untuk bertemu anjing itu selama dua tahun, untuk lihat mereka, bawa makanan.”

Kos mengendalikan pusat perlindungan itu mencecah ribuan ringgit dan Anna mengakui gajinya sebagai pensyarah tidak mampu menampung bil perubatan.

Nasibnya baik kerana menerima derma daripada individu dan NGO yang membantu memastikan pusat perlindungan itu terus berfungsi.

Anna juga membuka lama di Facebook untuk mendapatkan sumbangan dan mempromosikan haiwan untuk dipelihara.

“Bil perubatan saja antara RM800 hingga RM900 bagi seekor haiwan. Tambahan lagi, kos enam beg 15kg makanan anjing, lapan hingga 10 beg 20kg makanan kucing, bersama 10kg leher ayam segar dan 10kg ikan setiap bulan,” katanya.

Tetapi walaupun ketika kewangannya sempit, Anna berkata dia sanggup memelihara anjing di pusat perlindungannya berbanding diberikan untuk dijadikan haiwan peliharaan jika dia tidak pasti tuan baharu haiwan itu “cukup baik”.

“Saya akan sangat kecewa bila mengetahui mana-mana haiwan saya cedera dan mati di rumah baharu mereka,” katanya. – 8 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen