KALI terakhir seorang pemimpin kanan ditahan, Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menterinya. Barangkali itulah satu-satunya persamaan yang ada antara penangkapan Najib Razak semalam dengan penahanan Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri pada masa itu, 20 tahun lalu.
Masa sememangnya berubah. Pemecatan Anwar dan disusuli penahanannya pada 20 September 1998 menyebabkan ratusan orang berhimpun di rumahnya untuk menunjukkan sokongan, termasuk pemimpin pembangkang pada masa itu yang ironinya merupakan sebahagian daripada kerajaan Dr Mahathir sekarang.
Penangkapan Najib semalam bagaimanapun hanya disambut dengan protes ala kadar di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, malam tadi. Paling ramai pun, hanya 50 orang yang menyertainya.
Hari ini akan ternampaklah berapa ramai yang akan menunjukkan sokongan apabila bekas perdana menteri itu didakwa di mahkamah di Kuala Lumpur bagi kesalahan berkaitan dengan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd.
Hari ini kita akan tahu juga berapa ramai peguam yang akan datang untuk membela Najib di mahkamah. Setakat ini, hanya peguam peribadi dan Umno, Mohd Shafee Abdullah yang melawatnya beberapa jam selepas beliau ditahan.
Dalam masa beberapa minggu lalu, ada dua pasukan peguam yang dikatakan mengendalikan kes Najib meninggalkannya. Tetapi beliau ada beberapa orang peguam Amerika Syarikat yang bagaimanapun tidak ada kelayakan untuk membela kesnya di mahkamah Malaysia.
Najib barangkali akan dibebaskan hari ini dengan ikat jamin yang tinggi, tidak seperti Anwar yang dulu kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Anwar juga lebam matanya dipukul ketua polis pada masa itu, sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku sekarang.
Hakikatnya, Malaysia sudah berubah, termasuk sekarang ini sebuah kerajaan yang maklum bahawa ia sedang diperhatikan dunia ketika ia kini mendakwa Najib atas skandal 1Malaysia Development Berhad yang dibungkamkan semasa beliau jadi perdana menteri.
Najib sekarang bukan lagi perdana menteri setelah disingkirkan bersama kerajaannya pada pilihan raya umum 9 Mei. Tidak hanya itu, beliau juga presiden Umno pertama yang kehilangan kerajaan persekutuan, dan pemimpin Asia Tenggara pertama yang dihadapkan ke mahkamah atas jenayah semasa memerintah.
Pemimpin Asia Tenggara yang lain seperti Ferdinand Marcos di Filipina dan Thaksin Shinawatra di Thailand melarikan diri manakala Suharto di Indonesia yang letak jawatan pada 1998 didapati terlalu uzur untuk dibicarakan. Suharto meninggal dunia pada 2008.
Maka, apabila Najib dibawa ke mahkamah pagi ini, kemungkinannya dalam sut dan bukannya baju T warna oren yang dipakai oleh kebanyakan tahanan SPRM. Najib akan jadi yang pertama dalam beberapa hal tetapi beliau tidak akan melalui apa yang dilalui oleh Anwar bertahun-tahun lalu.
Beliau juga tidak akan dituduh atas apa yang tidak dipercayai oleh banyak orang.
Sebaliknya, masyarakat sudah menghakimi beliau pada 9 Mei lepas apabila mereka menolak kerajaannya. Sekarang, mereka menunggu beliau untuk menjalani proses perundangan untuk mengesahkan keputusan mereka itu.
Malaysia sudah berubah, walaupun orang yang sama perdana menterinya, dulu dan sekarang. – 4 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan