NAJIB Razak, yang menjadi tajuk utama dunia semalam selepas ditangkap di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, dijangka didakwa hari ini dengan pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Ahli Parlimen Pekan itu bermalam di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. Beliau akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi hari ini.
Penangkapan Najib itu dibuat lima minggu selepas penyiasatan digiatkan oleh ke atas 1Malaysia Development Berhad digiatkan, lima minggu oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua SPRM Mohd Shukri Abdull semalam berkata, mereka mempunyai bukti kukuh wang dalam akaun dibekukan itu adalah daripada 1MDB.
Wall Street Journal mendedahkan bagaimana berbilion ringgit diambil daripada 1MDB sejak 2010 hingga 2014, dan turut menjejak wang yang dicuri itu masuk ke akaun peribadi Najib. Salah satunya berjumlah AS$731 juta manakala satu lagi berjumlah RM42 juta.
Beliau disiasat mengenai penglibatannya dalam bekas anak syarikat 1MDB SRC International, serta RM2.6 bilion yang terdapat dalam dua akaun bank peribadi.
Bagaimanapun, beliau sehingga hari ini menafikan salah laku dan menegaskan wang itu adalah sumbangan.
Di mahkamah hari ini, beliau dijangka diwakili oleh peguam Umno Muhammad Shafee Abdullah sementara peguam negara baharu Tommy Thomas akan mengetuai pendakwaan.
The Malaysian Insight membawa maklumat terkini prosiding hari ini:
3.30pm: Najib Razak meninggalkan perkarangan mahkamah dengan laungan “Hidup Najib”. Ratusan penyokong mengiringinya ke kereta.
2.35pm: Puluhan penyokong Najib menunggu ketibaan bekas perdana menteri itu sambil melaungkan “Hidup Najib” dan “Bebas Najib”.
2.33pm: Isteri Najib Razak, Rosmah Mansor berbaju kurung jingga kelihatan di tingkat lima Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
2.20pm: Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) turut bertugas utk memastikan keadaan di mahkamah terkawal.
2.05 pm: Polis kawal keselamatan lobi. Difahamkan Najib keluar dari mahkamah.
Penyokong Najib tidak dibenarkan berada di dalam lobi. Hanya di luar perkarangan.
1.19pm: Sidang akhbar Thomas dijalankan di tempat lain selepas kekecohan sebentar tadi.
12.45pm: Sidang akhbar Peguam Negara Tommy Thomas dibatalkan selepas penyokong Najib menimbulkan kekecohan.
Mereka menjerit dan meminta peguam negara mengadakan sidang akhbar dalam bahasa Melayu.
12.23pm: Hakim menetapkan pengurusan kes pada 8 Ogos. Tarikh perbicaraan akan diputuskan kemudian.
12.18pm: Hakim membenarkan larangan sementara terhadap media untuk membuat komen (gag order), memerintahkan Shafee memfailkannya dalam tempoh 14 hari.
12.14pm: Thomas membantah permohonan larangan itu, mengatakan dunia akan membicarakan kes ini sementara Malaysia sebaliknya.
11.58am: Shafee menggesa mahkamah memberikan “gag order” terhadap kes tersebut, dengan mengatakan media dan para menteri mencemuh anak guamnya.
11.40am: Mahkamah membenarkan ikat jamin Najib sebanyak RM1 juta dan mengarahkan beliau menyerahkan kedua-dua pasport diplomatiknya.
Hakim Sofian Abd Razak memerintahkan membayar separuh jumlah jaminan hari ini dan selebihnya pada Isnin.
11.18am: Thomas dan Shafee berhujah mengenai jumlah jaminan. Pihak pendakwa inginkan ikat jamin sebanyak RM4 juta manakala Shafee meminta antara RM500,000 hingga RM800,000.
10.48am: Thomas meminta jaminan RM4 juta dan pasport Najib dipegang oleh mahkamah. Ketua pasukan peguam pembela Shafee membantah, mengatakan anak guamnya tidak akan melarikan diri.
10.47am: Thomas memberitahu mahkamah walaupun ini adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin, pihak pendakwa tidak membantah Najib ditawarkan ikat jamin.
10.40am: Najib mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM. Najib, 64, bagaimanapun akan terlepas hukuman sebatan, jika sabit kesalahan, kerana undang-undang menetapkan tiada sebatan bagi pesalah berumur lebih 50 tahun.
10.33am: Najib muncul di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Sofian Abd Razak.
10.19am: Orang ramai menunggu dengan penuh sabar di luar kompleks mahkamah untuk perkembangan terkini mengenai Najib. Bekas perdana menteri itu dijangka dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk direkodkan pengakuannya.
10.18am: Fahmi Reza, aktivis yang dipenjarakan kerana karikatur badutnya, dilihat berada di kompleks mahkamah. Beliau berharap bukan sahaja Najib, tetapi semua yang terlibat akan dibawa kemuka pengadilan.
9.30am: Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Mohd Puad Zarkashi percaya penangkapan pihak berkuasa terhadap Najib Razak disebabkan tekanan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau mahu perbicaraan dijalankan dengan adil terhadap bekas presiden Umno itu yang dipercayai bakal berdepan beberapa pertuduhan pecah amanah.
9.26am: Kes Najib di Mahkamah Sesyen selesai dan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
9.10am: Hakim Zainal Abidin Kamarudin masuk ke kamar mahkamah.
Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pendakwaan memohon izin untuk meneruskan prosiding dalam Bahasa Inggeris.
Najib diwakili peguam bela Shafee Abdullah manakala dua peguam Geethan dan Kumaraedran menjadi peguam pemerhati bagi pihak Rosmah Mansor.
8.45am: Anak-anak Najib, Nooryana dan Norashman tiba di bilik mahkamah dengan ekspresi muram. Mereka ditemani suami Nooryana dan pengawal peribadi. Isteri Najib, Rosmah Mansor masih belum kelihatan.
8.44am: Peguam Negara Tommy Thomas, yang mengetuai pendakwaan terhadap Najib, tiba di Mahkamah Sesyen.
8.40am: Blogger kontroversi Umno Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris dilihat muncul di perkarangan kompleks mahkamah untuk memberi sokongan kepada Najib.
Turut hadir adalah bekas ahli Majlis tertinggi Puad Zarkashi dan ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad.
8:27am: Anak lelaki Najib, Nazifuddin, masuk ke ruang mahkamah bersama isterinya dan pengawal peribadi.
8.25am: Najib hanya tersenyum sambil berjalan menuju ke kamar mahkamah.
Keadaan bertukar jadi kelam kabut seketika apabila kumpulan penyokong itu cuba mendekati Najib, menyebabkan berlaku insiden tolak menolak.
8.23am: Bekas setiausaha agung Transparency International Josie Fernandez, antara penyokong yang hadir pagi ini, berkata, Najib tidak wajar didakwa di mahkamah.
“Beliau sudah dibersihkan oleh AG,” katanya, merujuk kepada keputusan bekas peguam negara Apandi Ali pada Januari 2016.
“Seluruh kes ini bermotifkan politik. Tanya balik diri awak, kalau Dr Mahathir tak jadi perdana menteri, adakah Najib akan didakwa?” tanya Fernandez, seorang aktivis sosial.
“Datuk Najib (Mohamad Noah Omar) adalah sebahagian daripada Genting. Apa sebab dia perlukan duit?” katanya lagi, merujuk kepada dakwaan bekas perdana menteri itu menyeleweng duit kerajaan.

8.18am: Najib tiba di mahkamah disambut sorakan penyokongnya melaungkan slogan “Bebas Najib”. Kumpulan yang diketuai Tun Faisal Abdul Aziz itu kemudian menyanyikan lagu “Allah Selamatkan Kamu” untuk bekas perdana menteri itu.
8.15am: Peguam Negara Tommy Thomas, yang akan mengetuai pasukan pendakwaan, tiba di kompleks mahkamah.
8.05am: Polis mula memeriksa peralatan wartawan dan jurukamera. Ketua Polis Sentul R. Munusamy bercakap kepada media. Dia juga memeriksa Mahkamah Sesyen di mana Najib akan didakwa hari ini.
7.45am: Philip Loh, seorang penduduk dari Kuala Lumpur, datang awal di kompleks mahkamah, mendesak kerajaan Pakatan Harapan baru untuk menjalankan siasatan dan perbicaraan dengan adil. Beliau mendakwa pihak berkuasa tidak adil terhadap Najib, menyerbu rumahnya pada malam bulan puasa. Dia masih tidak bersalah, dia perlu dilayan dengan adil, kata Loh.
7.40am: Sekumpulan ahli Umno dari Pekan memandu sepanjang malam untuk menunjukkan sokongan kepada pemimpin mereka. Lebih ramai penyokong sedang dalam perjalanan dari Pekan, kata jurucakap kumpulan itu.
7.30am: Empat trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) memandu ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Sekumpulan penyokong Najib muncul, membawa sepanduk dengan mesej: Solidariti dengan Najib Razak, hormati kebebasan sivil. – 4 Julai, 2018.

Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mohammad Simon Adam Sikat · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan