Riza Aziz tinggalkan ibu pejabat SPRM selepas 9 jam 


Muzliza Mustafa

Produser filem, Riza Aziz hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan skandal 1MDB.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Julai, 2018

ANAK tiri Najib Razak, Riza Aziz meninggalkan bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada jam 10.29 malam selepas disoal siasat selama sembilan jam berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad.

Produser filem berusia 48 tahun yang juga pengasas bersama syarikat penerbit filem Red Granite Pictures tiba di ibu pejabat suruhanjaya itu pada jam 1.30 petang hari ini, ditemani sepasukan peguam.

Beliau dijangka akan hadir semula di ibu pejabat suruhanjaya itu pada jam 2 petang esok.

Riza merupakan ahli keluarga kedua bekas perdana menteri itu yang dipanggil untuk disoal siasat. Isteri Najib, Rosmah Mansor memberi keterangannya bulan lalu.

Najib sendiri turut disoal siasat selama 11 jam pada 22 dan 23 Mei lalu. Beliau disoal berhubung pembabitannya dalam bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, dan juga RM2.6 bilion yang ditemui dalam dua akaun peribadinya.

Turut disoal siasat hari ini merupakan dua tokoh Umno - presiden yang baharu dilantik Ahmad Zahid Hamidi dan peengerusi Umno Johor Shahrir Abdul Samad, yang merupakan bekas pengerusi Felda.

Shahrir yang didakwa menerima RM1 juta dari dana 1MDB, disoal siasat selama enam jam.

Semalam, Zahid disiasat selama sembilan jam kerana dakwaan pertemuan dengan keluarga diraja Arab Saudi berhubung wang “derma” RM2.6 bilion. – 3 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen