SIASATAN ke atas syarikat JJ Poor to Rich (JJPTR) masih berjalan tetapi mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan kerana ia melibatkan timbunan dokumen, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.
Khalid berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai sama ada siasatan JJPTR masih terbuka.
“Apabila kita bercakap tentang penyiasatan permainan wang ini, ia adalah proses yang sangat membosankan kerana kita perlu melalui timbunan dokumen, akaun dan sebagainya.
“Itulah sebabnya kita perlu diberi masa untuk menganalisis struktur skim wang untuk mengenal pasti kesalahan yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di Universiti Teknologi Malaysia hari ini.
Beliau juga berkata pasukan polis bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk melihat kesalahan yang terlibat dalam semua pengendali skim kewangan.
“Di Jabatan Siasatan Komersial polis, pegawai tambahan diambil untuk melihat isu skim wang ini.
“Lebih 20 (setakat ini membuat laporan polis), tetapi kebanyakannya adalah dari China. Ini adalah masalah kami, kerana ketika mereka (pengendali skim wang) menjalankan kegiatan, ia dilakukan di Shanghai dan China,” katanya.
Syarikat seperti JJPTR mendapat perhatian apabila pelabur mendakwa ditipu dalam pelaburan mereka.
BNM kini memasukkan JJPTR dalam senarai amaran pengguna kewangan bagi syarikat yang tidak memperoleh kebenaran di bawah undang-undang berkaitan. – 7 Julai, 2017.
Komen