Bekas penyokong Umno kesal tak bersuara bantah isu 1MDB lebih awal


Looi Sue-Chern

Bekas penyokong Umno, Yaakob Osman berkata pembangkang sudah mengetengahkan penyalahgunaan yang berlaku dalam 1MDB pada 2011 dan 2012, tetapi orang ramai, termasuk beliau sendiri enggan menerimanya semasa berucap di Penaga, Pulau Pinang, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Zainal Abdul Halim, 7 Julai, 2017.

SEORANG bekas penyokong Umno percaya penyalahgunaan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin dapat dibendung jika beliau dan orang Melayu lain sepertinya menyuarakan bantahan pada 2013.

Yaakob Osman yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tahun lalu berkata pembangkang sudah mengetengahkan penyalahgunaan yang berlaku dalam 1MDB pada 2011 dan 2012, tetapi orang ramai, termasuk beliau sendiri enggan menerima isu yang dibangkitkan.

“Sekiranya kita membuka mata dan menyedari isu melingkari 1MDB, perkara tidak akan menjadi seburuk seperti sekarang,” kata pemimpin Bersatu Pulau Pinang kepada kira-kira 200 orang di ceramah 1MDB “Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Penaga, Pulau Pinang malam tadi.

Bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, lelaki yang dikritik beliau sebelum ini kerana mendendahkan isu 1MDB, mengakui berasa canggung bercakap di depan pemimpin dan rostrum yang dihiasi bendera DAP.

“Tetapi apa yang boleh kita buat, kita perlu melakukannya, negara kita berada dalam situasi buruk. Kita tidak boleh terus berada pada pihak itu lagi,” kata beliau.

“Kerana kita tidak mendengar, masalah ini semakin buruk.

“Hari ini, saya mahu menebus kesilapan saya,” kata ketua maklumat Bersatu Pulau Pinang kepada orang ramai di pusat komuniti di situ.

Yaakob berkata beliau juga pernah mengecam pembangkang, iaitu Pua dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dari PKR, apabila mereka bercakap mengenai skandal 1MDB.

“Kita mungkin kata ia tugas pembangkang – untuk menentang (pentadbiran). Dahulu, saya juga berkata begitu, ‘Rafizi dan Pua menentang kerana itu tugas mereka’.”

Yaakob kemudian menyentuh mengenai saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk mendapatkan semula aset berbilion ringgit yang didakwa dibeli dengan wang dicuri daripada 1MDB, yang dikatakan sebagai kes kleptokrasi terbesar dalam sejarah AS.

Beliau menafikan dakwaan saman sivil itu sebagai “campur tangan asing” ke dalam hal ehwal domestik Malaysia, dengan mengatakan pihak berkuasa di sini, termasuk bank pusat dan Jawatankuasa Kia-kira Wang Negara, mendedahkan berbilion ringgit dalam dana 1MDB tidak dapat dikesan.

“Mereka mendakwa wang 1MDB tidak hilang, itu tidak betul, wang itu pergi ke seluruh dunia sebelum disalurkan ke Malaysia dan masuk ke dalam akaun ‘Malaysian Official No.1’ (MO1).”

MO1 sebelum ini disahkan oleh Menteri Kabinet Abdul Rahman Dahlan sebagai Perdana Menteri Najib Razak, yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Yaakob berkata beliau dan ramai profesional Melayu lain di Kuala Lumpur memikirkan bagaimana mereka boleh membetulkan keadaan dan memperbaiki apa yang berlaku kepada negara disebabkan hutang hampir RM50 bilion yang ditanggung 1MDB.

Beliau berkata apa diingini rakyat adalah siasatan ke dalam skandal untuk menentukan sama ada benar wujudnya salah laku.

“Jika ada salah laku, maka dihukum, jika tidak ada kesalahan, tidak mengapa.

“Itu adalah kedaulatan undang-undang,” katanya, tetapi mengeluh ia tidak berlaku di Malaysia, di mana “setiap cabang undang-undang ditindas”.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membersihkan nama Najib daripada sebarang kesalahan dalam kes IMDB.

Yaakob berkata untuk membuat penambahbaikan kepada pentadbiran persekutuan, Bersatu mencadangkan agar perdana menteri dibatasi kepada dua penggal, dan semua penjawat awam tertinggi seperti ketua polis negara, peguam negara dan pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilantik senat dan bukan perdana menteri. 

“Ini supaya mereka bertanggungjawab terhadap Parlimen, dan bukan kepada perdana menteri.

“Sekiranya PM melakukan kesalahan, maka mereka boleh mengambil tindakan sewajarnya, sekarang mereka tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Yaakob juga mengingatkan hadirin – yang kebanyakannya orang Melayu – tidak memikirkan Umno sebagai satu-satunya parti yang boleh melindungi kepentingan dan hak Melayu.

Beliau berkata, daripada berjuang untuk melindungi Melayu, Umno sepertinya lebih prihatin melindungi satu individu sahaja hari ini.

“Sejak permulaan isu 1MDB, tiada seorang pun daripada 3 juta ahli Umno yang dapat menghapuskan individu itu. Dan kerana 3 juta tidak dapat melakukannya, saya perlu berdiri di sini dengan Pua.

“Tetapi sudah terlambat untuk mengubah Umno, walaupun dengan membuang Najib, kerana Umno sudah benar-benar korup,” katanya.

“Saya harap anda semua akan pulang ke rumah dan berfikir tentang skandal 1MDB ini dan angka (wang yang didakwa dicuri).

“Jangan berikan mereka peluang lagi, jangan biarkan satu individu itu menentukan masa depan kita,” katanya.

Ceramah di Pulau Pinang ini adalah acara pertama dalam pameran bergerak Pakatan Harapan di seluruh negara untuk menjelaskan skandal 1MDB yang kompleks kepada penduduk luar bandar. – 7 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen