PELAKSANAAN cukai pelancongan akan lebih menguntungkan Sabah dan Sarawak sekaligus menolak kritikan sebelum ini yang mendakwa langkah tersebut tidak memberi manfaat kepada dua negeri terbabit, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz.
Ini kerana katanya, agihan hasil cukai pelancongan di negeri terbabit adalah sama meskipun Semenanjung mempunyai lebih banyak bilik hotel yang boleh dicukaikan.
Semenanjung mencatatkan peratusan jumlah bilik paling banyak iaitu 83% berbanding Sarawak 7%, Labuan 1 % dan Sabah 9%.
“Kiraannya mudah sebagai contoh kalau kita kutip RM100 juta bagi pecahan tiga wilayah ini – Semenanjung, Sabah dan Sarawak 33.3 % akan pergi kepada Sarawak walau jumlah bilik hotel Sarawak hanya 7%.
“Jadi tiada isu dengan Sarawak ini, malah sebenarnya yang lebih untung adalah mereka kerana tidak perlu berkongi seperti mana Semenanjung,” katanya.
Beliau turut menyifatkan, langkah mengagihkan pulangan hasil cukai pelancongan itu adalah lebih adil dan saksama berbanding jumlah dipecahkan mengikut negeri.
“Kalau kita nak buat ikut negeri, macam tidak adil sebagai contoh Perlis sebuah negeri kecil tapi mendapat jumlah hasil yang sama dengan Sarawak.”
Manakala untuk kutipan cukai, Nazri berkata ia akan dilaksanakan Jabatan Kastam.
“Sekiranya kastam belum bersedia, ia boleh ditangguhkan sekali lagi. Mereka sepatutnya mula mengutip cukai pada 1 Julai tetapi hari itu mereka kata belum bersedia dan minta penangguhan.”
Pelaksanan cukai pelancongan ini mendapat tentangan hebat terutamanya Sarawak yang memutuskan akan menarik balik penyertaan wakilnya daripada Lembaga Pelancongan Malaysia pada awal Jun lalu.
Ia setelah tercetusnya pertikaian antara Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Hamzah dan Nazri yang kemudian diredakan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, Nazri mempertahankan keperluan melaksanakan cukai pelancongan kerana kementeriannya memerlukan dana tambahan bagi mempromosikan industri pelancongan selepas pemotongan bajet.
Sementara itu kata Nazri, penginapan Airbnb juga tidak akan terlepas daripada dikenakan cukai pelancongan.
Namun ia akan dikenakan kepada rumah penginapan yang mempunyai enam bilik ke atas.
“Kita sendiri akan cari pemilik Airbnb ini dan minta mereka untuk mendaftar dan proses itu kini sedang dilakukan.
“Dan kita akan mengkelaskan bintang bagi penginapan tersebut supaya mudah untuk kita mengutip cukai,” katanya sambil mendakwa kementeriannya menerima reaksi positif daripada pemilik penginapan Airbnb.
Mengulas mengenai cukai sedia ada yang dikenakan Pulau Pinang, Melaka dan Langkawi beliau berkata negeri terbabit boleh memilih untuk meneruskan cukai tersebut.
“Itu terpulang kepada mereka sama ada mereka mahu teruskan sebab cukai pelancongan tetap juga akan dikenakan.” – 6 Julai, 2017.
Komen